KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat perlu memilih
kerajaan yang stabil dalam aspek politik dan kepimpinan untuk membangun
dan mentadbir negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan yang dipilih masyarakat perlulah
menentukan hala tuju negara dengan memberi keutamaan kepada empat
dimensi iaitu, politik, ekonomi, sosial dan keselamatan.
Katanya, tanpa kestabilan politik dan kepimpinan yang tidak memahami
bagaimana mahu mentadbir serta menentukan keutamaan dalam agenda negara,
segala yang dikecapi ketika ini akan hancur dan tidak bermakna lagi.
"Contohnya, ada pihak yang menyatakan saiz penjawat awam terlalu besar,
hingga ada kertas kerja dibentangkan oleh Penang Institute menyebut
hanya 430,000 penjawat awam yang diperlukan berbanding 1.62 juta ketika
ini.
"Implikasinya, mungkin saiz anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau perkhidmatan pelajaran akan
dikurangkan. Segalanya mungkin berlaku jika dasar kerajaan tidak
menepati keperluan sebenar.
"Lebih buruk daripada itu, seandainya ada pihak yang tidak memahami
asal usul sejarah negara, misalnya dicadangkan Rejimen Askar Melayu
Diraja (RAMD) dibubar kerana tidak sesuai dengan konsep 'Malaysian
Malaysia'. Apa implikasi pada kita semua?
"Bukan saya sengaja mahu timbulkan isu sensitif, tapi mahu kita sedar
dan menghayati hakikat bahawa kita perlu tentukan kepemimpinan paling
sesuai dan tepat untuk aspirasi dan masa depan negara kita bersama,"
katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Rejimental ATM dan PDRM
2018 di sini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima
Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed
Noor; dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Seramai 460 anggota ATM dan PDRM hadir pada majlis makan malam itu bagi
meraikan kerjasama dua agensi keselamatan itu, selain meraikan Sambutan
Hari Peringatan PDRM Ke-211 serta pameran NBOS antara Kementerian
Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, ATM dan PDRM.
Walaupun Najib tidak menyebut mana-mana pihak, namun umum mengetahui
konsep Malaysian Malaysia adalah prinsip dan agenda politik yang
diperjuangkan DAP sejak sekian lama.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, pemilihan tampuk kepemimpinan
yang tepat, khususnya dengan sokongan ATM dan PDRM, akan menjadikan
Malaysia sebagai negara yang hebat di persada antarabangsa.
"Malaysia memiliki masa depan yang cerah. Inilah yang mesti kita
pertahankan. Kesetiaan kita pada negara tidak boleh berbelah bahagi.
"Setiap pada anda semua (anggota ATM dan PDRM) sanggup berkorban apa
jua, kerana itu kami kepemimpinan kerajaan amat menghargai sumbangan dan
pengorbanan yang tidak terkira.
"Saya juga akan mempertimbangkan apa jua yang mampu kita berikan supaya
ATM dan PDRM terus berkembang dengan penuh kebanggaan sebagai dua
institusi yang penting untuk negara dan masa depan kita," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.