Rabu, 28 Mac 2018

PH tak pernah hilang hala tuju, kata PKR Kelantan

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi PKR Kelantan Abdul Aziz Abdul Kadir membidas Timbalan Ketua Cabang Gua Musang Syed Azhar Syed Alwi, apabila menuduh Pakatan Harapan (PH) hilang hala tuju selepas kemasukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
 
Ujar beliau, tindakan Syed Azhar yang membawa seramai 80 ahli parti itu keluar PKR dan menyertai PAS yang sebenarnya telah hilang arah tuju.
 
Justeru menurut Abdul Aziz, beliau sendiri 'tidak tahu' apakah yang dimaksudkan oleh Syed Azhar dengan sudah hilang hala-tuju itu, sedangkan perkara tersebut tidak berlaku.
 
"Bukan PKR, dia yang hilang arah tuju, Syed Azhar yang hilang arah tujunya, ke mana dia nak tuju pun saya tidak tahu.
 
"Sebab kita dalam organisasi kita ada Presiden, ada Majlis Tertinggi, mereka yang menentukan hala-tuju kita bukan Syed Azhar yang menentukan hala-tuju, (jadi) apa yang hilang itu? Saya juga tidak faham apa yang hilang," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Abdul Aziz dalam pada itu berkata, pihaknya kini sedang meneliti dakwaan jika benar sejumlah 80 orang ahli parti itu yang telah meninggalkan PKR.
 
Beliau bagaimanapun tetap menghormati keputusan yang diambil kesemua bekas ahli partinya itu dan menganggap ia sebagai perkara biasa lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum (PRU) semakin hampir.
 
"Saya menafikan sampai 80 tu sebab yang ada di dalam gambar itu yang biasa saya lihat ahli Keadilan (PKR) tiga orang sahaja.
 
"Tapi saya sendiri sedang meminta perincian daripada Ketua Cabang Keadilan Gua Musang takut ada ahli-ahli yang tersorok atau sebagainya sebab yang 'familiar' itu adalah tiga orang sahaja," ujarnya.
 
Katanya lagi, keluar masuk parti ini adalah satu perkara yang biasa dan tidak boleh dikawal.
 
"Memang benda ini perkara biasa, tetapi saya akan ambil sebagai satu untuk tindakan berhati-hati supaya perkara ini tidak berlaku lagi tetapi memang kita tidak boleh menahan secara jitu kalau dia sudah buat keputusan," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.