DENGKIL: Pakatan Harapan (PH) akan menggunakan logo PKR atau Amanah
untuk digunakan calon gabungan empat parti pembangkang itu pada Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14).
Naib Presiden PH, Salahuddin Ayub berkata mesyuarat Majlis Presiden PH
pada minggu lalu memutuskan untuk tidak menggunakan logo PPBM dan DAP
selepas dua parti itu dibelit masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
“PPBM dihalang guna logo mereka. Ini kerana Jabatan Pendaftaran
Pertubuhan Malaysia (RoS) buat banyak masalah, jadi kita fikir logo mana
paling berkesan.
“DAP tidak, (jadi pilihan) antara Amanah dan PKR. Kita tunggu seperti
mana diputuskan mesyuarat Majlis Presiden PH Selasa ini,” katanya
dipetik sebuah portal.
Salahuddin berkata demikian selepas melancarkan jentera pilihan raya
Parlimen Sepang di Dewan Orang Ramai Pekan Dengkil, malam tadi.
Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah berkata, pemilihan hanya
satu logo parti pembangkang itu kerana RoS sehingga kini tidak
meluluskan permohonan pendaftaran PH.
“Kita tidak boleh tunggu lagi sebab permohonan kita (pendaftaran PH) pada JPPM tidak dilayan sampai hari ini.
“Kita kena guna antara logo dua parti ini (PKR atau Amanah),” katanya.
Pada 27 Februari lalu, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan
berkata, mereka akan menggunakan lambang salah sebuah parti komponen
jika RoS gagal meluluskan permohonan mendaftarkan gabungan itu.
Sebelum ini, RoS berkata kegagalan PPBM mengadakan mesyuarat agung
pertama dan masalah DAP berhubung kesahihan jawatankuasa eksekutif pusat
(CEC) mereka menyebabkan kelewatan meluluskan permohonan PH.
PPBM sudah mengadakan mesyuarat agung pertama mereka pada Disember lalu, sementara RoS mengiktiraf barisan kepimpinan DAP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.