Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini
AMPANG: PAS berjuang dalam arena politik negara menggunakan dana yang
disumbang daripada poket ahli-ahlinya sendiri sejak 1950-an lagi, kata
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menolak sama sekali
tuduhan bahawa PAS menerima dana RM90 juta daripada Perdana Menteri,
Datuk Najib Razak dan menyifatkan tohmahan itu sebagai tidak
bertanggungjawab.
"Dimana PAS semasa memasuki pilihan raya ini dibiayai oleh wang-wang
atau duit yang datangnya daripada poket ahli-ahli PAS sendiri.
"Tetapi dikatakan difitnahkan pimpinan tertinggi PAS mendapatkan
sumbangan-sumbangan seperti ini", katanya ketika berucap di Majlis Makan
Malam Dana Pilihan Raya PAS PUSAT, di Ampang, semalam.
Presiden PAS, Abdul Hadi sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap
Editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London
pada 21 April tahun lalu susulan editor peortal itu memfitnahnya
menerima dana RM90 juta daripada Najib.
Dana itu menurut Claire, digunakan untuk menarik kepemimpinan PAS untuk menyokong kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno.
Perkembangan perbicaraan kes itu setakat ini dikatakan memihak kepada PAS.
Dalam pada itu, Takiyuddin berkata negara kini sedang bersiap untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ramalnya, kerajaan akan menyelesaikan perbahasan persempadanan semula
kawasan pilihan raya pada Rabu ini, sebelum mengumumkan pembubaran
Parlimen.
"Didalam dewan Parlimen, pihak kerajaan melalui Suruhanjaya Malaysia
telah mengemukakan satu laporan kajian semula bahagian-bahagian pilihan
raya bagi negeri-negeri ditanah melayu ataupun di Semenanjung Malaysia
tidak termasuk Sabah dan Sarawak.
"Dimana laporan ini akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia di
Dewan Parlimen pada hari Rabu, 28 Mac yang akan datang ini.
"Ini adalah satu petanda yang amat jelas bahawa tempoh pembubaran
parlimen Malaysia akan diadakan bila-bila masa sahaja," katanya.
Justeru Takiyuddin berkata PAS turut terpanggil untuk sama-sama
mempersiapkan jentera parti antaranya mengukuhkan kewangan parti dengan
mengutip sumbangan daripada lebih satu juta ahlinya.
"Oleh sebab itulah, pada malam ini PAS pusat telah menganjurkan suatu
majlis yang indah dan permai ini bagi kita memberi peluang kepada rakyat
Malaysia dan dermawan untuk memberikan sumbangan kepada PAS.
"Bagi membolehkan PAS diseluruh negara dapat menjalankan atau
mengendalikan pilihan raya dalam keadaan yang agak selesa dengan sumber
kewangan yang agak mencukupi bagi kita menjalani perkara ini," katanya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.