Oleh Ainor Rahim
SERDANG: Calon pilihan raya PAS diyakini tidak akan mensabotaj parti
atau disabotaj ahlinya yang lain, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ujar Presiden PAS itu, parti mempunyai kaedah tersendiri bagaimana mahu
memilih calon pilihan raya yang setia dan disokong ahli akar umbi
kawasan masing-maisng.
"Kita sudah selesai soal calon ini lebih 90 peratus. Sebab itu tidak
penting PAS ikut parti lain, kita ada pendekatan sendiri. Yang mana
calon yang kita pilih ini dilihat adabnya termasuk pandangan-pandangan
akar umbi parti.
"Tidak ada, insyaAllah. Orang yang nak bertanding ini payah. Orang tahu
nak bertanding PAS ini besar tanggungjawabnya. Sebab itulah kita
mencari calon calon, bukan datang (tapi kita yang mencari)," katanya
kepada pemberita selepas Konvensyen Mahasiswa Malaysia di Serdang Jaya
di sini, hari ini.
Beliau berkata ketika diminta mengulas keputusan Barisan Nasional (BN)
yang bakal memecah tradisi dengan menamakan lebih awal calon pilihannya
berbanding amalan biasa sebelum ini.
Pengerusinya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata
beliau akan mengumumkan calon parti komponen BN 'lebih awal' tetapi
tidak 'terlalu awal' bagi mengelakkan calon mensabotaj atau disabotaj
parti.
Hadi turut ditanya sama ada rang undang-undang persendirian untuk
meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 sempat
dibentang ke Parlimen sebelum dibubarkan.
Ujarnya, pihaknya sudah melaksanakan tanggungjawab mereka dan kini terpulang kepada kerajaan Umno BN untuk menguruskannya.
"Itu tugas kerajaan, saya dah bawa ke Parlimen. Menentukan bila dibahas
itu budi bicara Speaker. Yang penting kita berjaya melonjakkan RUU355
ini menerusi usul yang pertama, kerana usul persendirian mestilah
memenuhi syarat.
"Yang pertama seorang kabinet mesti benar usul itu dibawa ke Parlimen.
Dia telah benar bawa, bila nak diundi itu soal kerajaan," ujarnya.
Sebelum ini RUU355 dibentangkan kali ketiga pada sesi persidangan Dewan
Rakyat pada April tahun lalu oleh Anggota Parlimen Marang Datuk Seri
Abdul Hadi Awang sebagai usul persendirian.
Ia bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan termasuk penambahan
tempoh penjara lebih tiga tahun atau denda lebih RM5,000 atau lebih enam
sebatan kepada hukuman penjara lebih 30 tahun atau denda lebih
RM100,000 atau 100 sebatan dilaksana mengikut jenayah syariah.
Parlimen yang sedang bersidang sehingga 5 Mac ini, dijangka persidangan yang terakhir sebelum PRU14.
Penggal kerajaan akan berakhir pada 24 Jun ini dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.