Jumaat, 30 Mac 2018
‘Mummy sayangkan kamu semua’
SHAH ALAM: Dua tahun lalu, Hasnita Mohd Rosli hidup bahagia bersama keluarganya dan sibuk dalam kariernya sebagai perunding IT.
Wanita yang kini berusia 40 tahun itu merupakan ibu kepada seorang anak perempuan berusia 12 tahun, sepasang anak kembar lelaki berusia 5 tahun, dan anak lelaki berusia 4 tahun, dan memiliki seorang suami yang penyayang, Adi Asral Abdul Rashid.
Bagaimanapun, kehidupannya berubah pada November 2016. Dia dikesan menghidap kanser payudara, antara pembunuh utama wanita di negara ini.
“Saya pergi berurut dan tukang urut mendapati ada benjolan berhampiran payudara. Saya bimbang dan segera berjumpa doktor dan menjalani mamogram,” katanya kepada FMT, ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam.
Hasnita disahkan menghidap “high grade neuroendocrine breast carcinoma”, sejenis kanser yang menyerang hanya 0.3% penduduk dunia.
Beberapa hari kemudian, dia menjalani pembedahan untuk mengeluarkan benjolan itu dan memulakan rawatan kimoterapi serta radioterapi.
“Sukar untuk menjelaskan kepada anak-anak apa yang berlaku kerana semuanya berlaku begitu pantas dan anak bongsu saya hanya berusia 2 tahun waktu itu.
“Saya beritahu dia, saya sakit dan menunjukkan balutan luka pembedahan. Saya kata saya tidak boleh mendukungnya dan hanya boleh pegang tangannya ketika itu,” katanya, suaranya gementar setiap kali bercakap mengenai anaknya.
Kimoterapi dan radioterapi menyakitkan, tetapi lebih teruk apabila Hasnita terpaksa berjauhan dengan 4 anaknya selama berbulan-bulan sepanjang rawatan itu.
“Rawatan itu membuatkan saya penat, jadi sukar untuk saya jaga anak-anak. Kami menghantar mereka tinggal bersama datuk dan nenek mereka, sementara suami menjaga saya. Saya hanya dapat menemui anak-anak 2 minggu sekali.”
Hasnita bersyukur mendapat sokongan keluarga, tanpa bantuan mereka, tidak mungkin mampu menangani keadaan penuh mencabar itu.
“Suami, ibu bapa dan adik-beradik menjadi tonggak kekuatan saya dan saya mahu berterima kasih kepada semua perkara yang mereka lakukan untuk saya, khasnya membantu saya menjaga anak-anak.”
Kanser tahap 4
Ia mengambil 8 bulan untuk Hasnita sembuh dan bersatu dengan anaknya semula. Pada September tahun lalu, senyuman kembali terukir di wajah keluarga itu apabila doktor mengesahkan pemeriksaan yang mendapati tiada kesan kanser ditemui.
Bagaimanapun, kegembiraan itu terbukti sementara. Selepas beberapa bulan, Hasnita mula mengalami sakit belakang. Hasil pemeriksaan kemudian mengesahkan dia menghidap kanser tahap 4.
Beliau kini bertarung nyawa untuk melawan kanser yang sangat jarang berlaku itu merebak ke tulangnya, dan ia amat menyakitkan apabila duduk terlalu lama.
“Tiada ubat untuk kanser tahap 4,” katanya, nada suaranya penuh semangat. “Kini, perkara yang boleh dilakukan ialah mengawalnya daripada merebak.”
Hasnita berikrar tidak akan berputus asa dan akan berusaha menikmati hidup bersama 4 anak serta suaminya, Adi Asral, 41.
Pertarungannya dengan kanser menjadikan beliau lebih penyabar dan cekal untuk fokus terhadap kehidupan sekarang, mengembara bersama orang tersayang dan menemui rakan lama.
“Sangat lucu, apabila anda sakit, orang mula kasihan dengan anda, mereka datang jumpa anda.
Dalam tempoh beberapa bulan ini, saya sudah berkenalan dengan lebih ramai kawan berbanding sejak 20 tahun lalu.
“Selepas menghidap kanser, saya lebih dekat dengan Tuhan dan melakukan perkara penting dan ini memberikan saya sedikit ketenangan jiwa,” kata Hasnita, yang tenang sepanjang temubual.
Beliau kini mempunyai blog sendiri yang mencatatkan perjuangannya dengan kanser. Ada di kalangan pembacanya memberitahu blognya turut membantu mereka dan beliau bersyukur dengan kata-kata semangat mereka.
Tetapi, ada sesuatu yang betul-betul membimbangkan beliau: masa depan 4 anak tanpanya.
Anak sulungnya, Sonia, 12, tahu penyakit yang dihidapi Hasnita, tetapi bukan 3 anak lelakinya yang hanya tahu “mummy sakit”.
“Saya tidak dapat bayangkan saya meninggalkan mereka. Saya perlu fikir cara untuk mempersiapkan mereka apabila saya tiada lagi.”
Hasnita melawan perasaan ketika ditanya apa yang dia harap akan diingati anak-anaknya.
“Saya harap mereka akan ingat mummy sayang mereka, mummy sentiasa berdoa yang terbaik untuk mereka dan berada di hati mereka, sebagai penyokong terbesar mereka,” katanya.
Waktu ini, Hasnita gagal mengawal emosi. Dan air mata mula mengalir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.