KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Jalan Duta membenarkan permohonan
polis untuk menahan reman Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda
Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman.
Menurut peguam Mazlan, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, pemimpin Amanah itu akan ditahan selama lima hari sehingga 25 Mac ini.
Beliau berkata Mazlan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan ke atas Mazlan berhubung video di Facebook sebelum ini.
"Beliau dibawa dari Ibu Pejabat Polis Derah Kulai, Johor dan tiba di
mahkamah 3.30 petang tadi, dan selepas mendapat kebenaran reman, Mazlan
dibawa ke lokap Balai Polis Jinjang,” katanya.
Seksyen 500 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya untuk kesalahan memfitnah.
Sementara Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan
hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau
kedua-duanya untuk kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian
atau perkhidmatan rangkaian.
Mazlan ditahan polis malam tadi, ekoran didakwa menuduh isteri Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, terlibat dalam
beberapa projek yang dirancang dan dilaksanakan oleh Felda.
Susulan itu, Rosmah membuat laporan polis terhadap Mazlan, selepas ahli
Jawatankuasa Pusat Amanah itu mendakwanya terlibat dalam projek
penternakan ikan sturgeon yang gagal dilaksanakan selepas memakan
belanja berjuta ringgit oleh Felda.
Projek itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu yang turut menangkap beberapa pegawai Felda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.