Selasa, 27 Mac 2018

Lim Kit Siang ajak Najib tunjuk bukti laporan PAC bersihkan nama dari salah laku 1MDB


Roketkini.com

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang telah pun menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengatur pertemuan menunjukkan bukti bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah membersihkan namanya dari segala kesalahan skandal penyelewengan 1MDB.

Menurutnya, beliau telah pun menghantar e-mel kepada Najib mencadangkan supaya Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menetapkan satu tarikh bagi pertemuan tersebut.

“Jika Najib tak balas e-mel saya dan tiada pertemuan menunjukkan kepada saya ayat dalam Laporan PAC tentang 1MDB yang membebaskan dirinya dari sebarang salah laku, saya akan teruskan rancangan untuk adakan forum di setiap negeri seluruh negara,” katanya dalam kenyaataan baru-baru ini.

Forum tersebut kata Kit Siang untuk melihat sama ada Najib telahpun dibebaskan dari sebarang salah laku dalam laporan PAC dan akan dianjurkan seawalnya dalam tempoh seminggu.

Kit Siang dalam masa yang sama turut mengalu-alukan Najib untuk hadir ke acara itu atau menghantarkan wakil.

“Najib akan dimaklumkan bila program itu akan diadakan supaya beliau sendiri atau wakilnya boleh hadir,” katanya.

Kenyataan ini dibuat ekoran pengakuan Najib yang mendakwa namanya telah dibersihkan dari sebarang salah laku oleh PAC.

Dalam masa yang sama, Kit Siang mempersoalkan adakah Najib telah tersilap antara laporan PAC dengan laporan ketua audit negara yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Kalau begitu, saya sedia menerima ‘kesalahan jujur’ beliau berserta dengan perkara atau ayat menunjukkan nama beliau dibersihkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Jika Najib tidak bersedia untuk menarik balik dakwaan tidak benar dan tidak berasasnya bahawa nama beliau bersih dari segala salah laku dalam laporan PAC mengenai 1MDB, adakah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis bersedia utuk membuka siasatan, termasuk menyoal siasat perdana menteri kerana mereka-reka dan menyebar berita palsu?” katanya lagi. –Roketkini.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.