Khamis, 1 Mac 2018

Laporan Unicef dedah kegagalan kerajaan bela rakyat termiskin di PPR




Laporan Unicef dedah kegagalan kerajaan bela rakyat termiskin di PPR



Laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unicef) menjadi bukti terbaru kegagalan kerajaan BN untuk merangka dan melaksana dasar-dasar yang mampu mengangkat martabat rakyat termiskin, khususnya kanak-kanak yang dibesarkan di kawasan projek perumahan rakyat (PPR).

Laporan bertajuk “Children without: A study of urban child poverty and deprivation in low-cost flats in Kuala Lumpur” yang diterbitkan awal minggu ini membongkar keperitan dan kepayahan hidup warga miskin kota, serta kesan kemiskinan terhadap tahap pendidikan dan perkembangan kanak-kanak yang dibesarkan dalam suasana tersebut, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi, antara lain Unicef mendedahkan bahawa 99.7% kanak-kanak di flat kos rendah adalah dari keluarga miskin manakala 7% dari keluarga miskin tegar; manakala 10% kanak-kanak di PPR menikmati kurang dari tiga hidangan sehari.

Salah sebuah flat kos rendah di ibu kota Kuala Lumpur.

Kajian Unicef juga mendapati 15% kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di flat kos rendah kurang berat badan manakala 22% mengalami pertumbuhan terbantut dengan 23% kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan.

Lebih mengejutkan, hanya 50% kanak-kanak 5 dan 6 tahun pergi ke prasekolah, berbanding 92% di peringkat kebangsaan pada 2015; manakala sepertiga keluarga yang dikaji tiada bahan bacaan untuk kanak-kanak di bawah umur 18, dan 40% keluarga tiada alat permainan untuk kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

“Fakta-fakta ini amat memeranjatkan. Ia bermakna jika benar ekonomi negara sihat seperti yang didakwa Umno-BN, maka nikmat ekonomi ini tidak dirasai semua lapisan masyarakat terutama warga miskin kota.

“Nampaknya laporan ini mengukuhkan persepsi bahawa yang kaya bertambah kaya manakala yang miskin terus merana,” ujar Fahmi.

Mengulas lanjut inti laporan tersebut, Fahmi menerima baik syor-syor laporan tersebut termasuk pengenalan elaun penjagaan kanak-kanak, meningkatkan tempoh cuti bersalin, dan mengkaji semula pendapatan garis kemiskinan (PLI) untuk mengambil kira pelbagai faktor termasuk saiz dan tahap kesihatan isi rumah.

“Saya juga percaya bahawa rekabentuk dan senibina projek PPR perlu dikaji semula untuk mengambil kira aspek keselamatan terutama bagi kanak-kanak dan warga emas, serta untuk mengatasi isu-isu yang sering dihadapi warga PPR seperti lif rosak, kekurangan akses ke pengangkutan awam serta masalah sampah dan kebersihan persekitaran,” kata beliau.

Fahmi bagaimanapun kesal kerana sehingga kini tiada sebarang respon rasmi dari Putrajaya berkenaan laporan Unicef tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa menteri-menteri terbabit termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Kesihatan, Menteri Pendidikan, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat dan Menteri Wilayah Persekutuan segera memberi penjelasan bagaimana masalah-masalah yang dilapor Unicef boleh terjadi kepada keluarga-keluarga termiskin ini.

“Kanak-kanak adalah harapan dan masa depan negara kita. Jika kerajaan yang ada sekarang gagal untuk melaksana reformasi yang diperlukan untuk memperbaiki keadaan terutama buat golongan termiskin di kota, maka rakyat perlu memilih parti yang mampu memberi harapan untuk membina masa depan yang lebih baik dan lebih adil untuk semua,” tegas beliau yang juga Ketua AMK Lembah Pantai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.