KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila Ahli Parlimen
Gelang Patah Lim Kit Siang, yang digantung enam bulan bermula semalam
muncul dalam sidang berkenaan.
Kedegilan Kit Siang itu telah mengundang rasa tidak puas hati ahli
parlimen Barisan Nasional (BN) sehingga menggelar beliau sebagai
'hantu'.
Ia juga mencetuskan perbalahan antara ahli parlimen kerajaan dan
pembangkang yang bertikam lidah mempersoalkan kehadiran Penasihat DAP
itu.
Kekecohan itu bermula apabila Datuk Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu)
meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
mengambil tindakan terhadap Kit Siang.
"Gelang Patah masih ada, seorang senior tetapi bersikap begini, minta diambil tindakan terhadapnya.
"Ini memang perangai pembangkang bila kena atas batang hidung sendiri
tak mahu mengaku," katanya yang bangkit sebaik sahaja sesi soal jawab
selesai.
Ia kemudian dijawab secara sinis oleh Pandikar Amin dengan berkata: "Saya tidak nampak Gelang Patah."
Kekecohan itu berlarutan sehingga menganggu Menteri Kesejahteraan
Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar ingin
membentangkan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018.
Kit Siang kemudian bangun mengganggu Noh daripada meneruskan
pembentangan dengan bertanya kepada Pandikar Amin sama ada beliau
digantung sehari atau enam bulan.
Noh berkata, Kit Siang sudah 23 tahun berada di Dewan Rakyat dan suaranya biasa didengari namun orangnya tidak kelihatan.
Budiman kemudian bangun mencelah: "Ada suara hantu." katanya.
Menyifatkan Kit Siang sebagai tidak 'tidak faham bahasa', Noh yang juga
Ahli Parlimen Tanjung Karang mengakui akan keluar dari dewan jika
diarah berbuat demikian.
Dewan Rakyat terus panas dengan beberapa Ahli Parlimen pembangkang bertikam lidah dengan Noh bagi mempertahankan Kit Siang.
Semalam Kit Siang digantung selama enam bulan berkuat kuasa
serta-merta, selepas mengingkari arahan Speaker Dewan Rakyat, ekoran
mengganggu pembentangan Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai
Syor-syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-bahagian Pilihan Raya
Persekutuan Dan Negeri Di Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam
Tahun 2018.
Pandikar mengambil tindakan itu mengikut Peraturan 44(3) Peraturan
Mesyuarat Parlimen selepas Kit Siang yang juga Ketua Parlimen DAP enggan
mematuhi arahan supaya berhenti mengganggu perjalanan persidangan.
Walau bagaimanapun, usul berkenaan diluluskan selepas sesi belah bahagi
di Dewan Rakyat hari ini, dengan 129 menyokong dan 80 menolak.
Usul ini berjaya diluluskan dalam beberapa jam selepas dibentangkan dan
dibahaskan oleh tujuh wakil rakyat dari kedua belah pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.