Jumaat, 2 Mac 2018

Kit Siang cedera di dahi selepas tergelincir di rumah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang terpaksa membatalkan semua programnya hujung minggu ini, ekoran mengalami kecederaan di dahi selepas tergelincir di dalam tandas di rumahnya di Gelang Patah, Johor, semalam.
 
Menurut kenyataan yang dikeluarkan ibu pejabat DAP, hari ini, pemimpin veteran pembangkang itu sudah menerima rawatan lanjut di sebuah klinik berhampiran dan doktor yang merawat menasihati beliau supaya berehat.
 
"Semua acara yang sudah dijadualkan pada hujung minggu ini, termasuk forum di kedai kopi di Gelang Patah pagi tadi dan satu lagi di Pekan Nenas pada pagi esok (Sabtu) terpaksa dibatalkan.
 
"Beliau juga tidak dapat menghadiri majlis ulang tahun ke-4 sempena memperingati tragedi MH380 pada petang esok di Kuala Lumpur.
 
"Selain itu, beliau tidak dapat menghadiri majlis makan malam bagi mengutip dana PKR di Setia Alam pada Ahad malam dan tarikh baru juga akan ditetapkan bagi Kit Siang membuat lawatan ke Sungai Pelek dan Sepang," kata kenyataan berkenaan.
 
Sementara itu, pada Disember tahun lalu, Kit Siang disahkan menghidap kanser tahap pertama dan terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang 30 peratus bahagian buah pinggangnya.
 
Selepas berehat hampir sebulan, beliau membuat penampilan semula pada awal tahun ini.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.