“Jika Invoke dituduh melanggar undang-undang kerana menjalankan kaji selidik, bagaimana pula ratusan kaji selidik yang dilakukan oleh Umno untuk mengukur tahap sokongan ke atas calon-calonnya?” soal pengasas Invoke Rafizi Ramli.
Mengulas tuduhan-tuduhan tidak berasas naib ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun terhadap Invoke di Dewan Negara, 27 Mac lalu, Rafizi mengakui dimaklumkan beberapa ahli parlimen Umno-BN mengenai kaji selidik melalui telefon yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengenal pasti tahap sokongan setiap wakil rakyatnya.
“Jika Invoke ingin disiasat kerana menjalankan kaji selidik, kenapa pula Umno tidak disiasat secara besar-besaran kerana jumlah kaji selidik melalui telefon yang dibuat oleh Umno adalah jauh lebih tinggi berbanding kaji selidik oleh Invoke?” soal ahli parlimen Pandan itu.
Sehubungan itu, Rafizi yakin tuduhan palsu dilemparkan Khairul Azwan dan laporan meluas media massa pro-BN terhadap ucapan pemimpin pemuda Umno itu, sebagai usaha untuk melumpuhkan Invoke yang kini sudah mempunyai 25,000 orang sukarelawan yang giat dilatih untuk menjadi ejen kira undi bagi calon-calon PH.
“Ugutan ke atas Invoke adalah untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak terus tampil menjadi sukarelawan kerana Umno bimbang dokongan rakyat yang menjadi sukarelawan Invoke akan menyukarkan sebarang usaha penipuan pilihan raya,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau menyeru orang ramai untuk terus tampil mendaftar menjadi sukarelawan Invoke dengan mendaftar di pautan bit.ly/JOMJOININVOKE.
“Lebih ramai rakyat yang mendaftar menjadi sukarelawan, lebih sukar Umno mengugut untuk melumpuhkan operasi Invoke,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.