Ahad, 25 Mac 2018

Jenayah maha besar apa dibuat Mazlan, soal Pemuda AMANAH





Pemuda AMANAH Nasional kecewa dengan tindakan polis menangkap Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman yang dilihat tidak munasabah seolah-olah melakukan jenayah amat besar.

Naib Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya kecewa dan menganggap isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansur begitu terdesak mengarahkan peguamnya untuk membuat laporan polis berhubung satu ceramah Mazlan.

“Hingga membawa kepada penangkapan saudara Mazlan Aliman sekitar jam 1.35 pagi hari ini di rumah beliau.

“Tindakan pihak polis yang berkeras untuk menangkap beliau pada waktu yang amat tidak munasabah itu juga mengundang tanda tanya:

“Jenayah maha besar apakah yang dibuat aktivis rakyat tersebut hingga tidak boleh menunggu waktu siang untuk ditahan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan, 52, yang juga pemimpin AMANAH ditahan di rumahnya di Felda Bukit Ramun, Kulaijaya dan dibawa ke IPD Kulai pukul 1.35 pagi tadi.

Difahamkan, penangkapan pejuang hak peneroka Felda itu ekoran laporan polis tentang ceramahnya yang menyentuh tentang Rosmah.

Mengulas lanjut, Pemuda AMANAH berpendirian tangkapan tersebut sebagai bermotifkan politik dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak masuk akal seperti itu.

“Datin Sri Rosmah Mansur juga tidak seharusnya mengheret pihak polis dalam perseteruan politik dirinya dan pihak lain,” tegasnya.

Sehubungan itu, Shazni memberitahu Pemuda AMANAH menggerakkan kempen #BebasMazlan #TangkapNajib sebagai simbol solidariti seterusnya mendesak penjenayah sebenar yang ditangkap bukannya pejuang rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber memberitahu Mazlan telah dibawa ke Kuala Lumpur sekitar jam 9 pagi tadi dan proses reman mungkin akan ditetapkan di Mahkamah Jalan Duta.
Difahamkan Bukit Aman telah mengambil alih kes tersebut.

Tangkapan terhadap Mazlan berlaku ketika masyarakat Felda memberi sambutan hangat dan sokongan secara terbuka kepada siri Jelajah Pakatan Harapan (PH) termasuk hadir dalam ceramah perdana anjuran gabungan empat parti itu.

Penahanan aktivis rakyat itu juga berlaku ketika tiada tindakan susulan ke atas hartawan kontroversi, Jho Low yang didakwa membeli kapal layar Equanimity menggunakan wang dicuri daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.