Ahad, 25 Mac 2018
Hadi: Dr M jilat ludah sendiri cadang mansuh Auku
SERDANG: Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad menjilat ludah sendiri menerusi cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Saya komen pendek saja, dia (Dr Mahathir) jilat ludah sendiri,” kata presiden PAS itu selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya hari ini.
Pada 21 Mac lalu, Dr Mahathir menerusi siaran langsung di Facebooknya memberi jaminan akan memansuhkan Auku, jika PH memenangi PRU14.
Pengerusi PH itu berkata, pemansuhan undang-undang itu bermakna tanggungjawab terletak di bahu ibu bapa untuk memantau prestasi anak.
Hadi berkata, sebelum 1980-an, mahasiswa dan pensyarah bebas menyertai sebarang aktiviti berkaitan politik kerana kerajaan ketika itu tidak sedikit pun takut atau terkesan.
“Saya sempat berada pada zaman selepas negara mencapai kemerdekaan. Ketika itu, tidak ada akta universiti yang mengikat pensyarah dan mahasiswa.
“Pemimpin politik boleh masuk kampus dan ketika itu kerajaan tak takut, kita boleh menyertai kegiatan di kampus.”
Bagaimanapun, ahli Parlimen Marang itu berkata, keadaan berubah selepas Auku dilaksanakan pada 1980-an.
“Kita tak tahulah siapa jadi perdana menteri masa itu wujudkan akta universiti tak benarkan pensyarah dan mahasiswa campur tangan dengan politik. Sekiranya yang berpendidikan tidak dibenarkan, adakah nak serahkan (pentadbiran) kepada yang tak berpendidikan?” soalnya.
Dr Mahathir, yang menerajui kerajaan selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, merupakan calon perdana menteri PH untuk PRU14 sementara menunggu Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali layak untuk bertanding pada PRU.
Ditanya jika Rang Undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dikenali sebagai RUU 355 sempat dibahaskan di Parlimen yang akan berakhir 5 April ini, Hadi menyerah perkara itu kepada kerajaan.
“Itu tugas kerajaan. Saya dah bawa ke Parlimen, menentukan bila dia bahas itu terpulang kepada speaker, terpulang pada budi bicara dia.
“Apa yang penting kita dah berjaya melonjakkan RUU 355 ini melalui usul yang pertama kerana usul mestilah memenuhi syarat-syarat yang pertama terlebih dahulu. Seorang menteri Kabinet membawa usul mengizinkan usul itu dibawa.”
Mengani isu calon PRU14, Hadi berkata, lebih 90% calon sudah dimuktamadkan, tetapi parti itu tidak akan mengumumkan calonnya lebih awal seperti yang akan dilakukan BN.
“Kita sudah selesai soal calon ini lebih 90%, tinggal sedikit sahaja, sebab itu kita tak terikut parti lain.
Kita ada pendekatan kita sendiri, di mana calon kita pilih sendiri dilihat dari atas (kepimpinan) termasuk akar umbi parti.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.