Khamis, 29 Mac 2018

Bagaimana kenal pasti isu RM2.6 bilion, 1MDB berita palsu, soal Muhyiddin






KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM-Pagoh) mempersoalkan langkah diambil kerajaan untuk mengenal pasti berita atau maklumat palsu.

Beliau memberi contoh isu RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun perdana menteri dan 1MDB yang disiasat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), di mana pelbagai kenyataan berbeza dikeluarkan.

“Saya mengambil contoh isu RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri. Semasa saya di dalam Umno, saya tanya dari mana dapat duit itu, perdana menteri kata dari penderma Arab Saudi.

“Tetapi, banyak laporan media seperti Wall Street Journal (WSJ) dan DoJ yang buat laporan menyatakan wang itu bukannya datang dari Arab Saudi, tetapi 1MDB.

“Kemudian, saya baca kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang berkata laporan DoJ itu bukannya berita palsu. Jadi, yang mana satu berita palsu atau berita benar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018, Muhyiddin yang juga presiden PPBM berkata, tiada keperluan mendesak untuk kerajaan memperkenalkan undang-undang baru untuk menyekat berita palsu.

“Walaupun tajuk RUU itu mungkin bertujuan baik, tetapi cara ia dilaksanakan akan menjadi persoalan besar.

“Ia tergesa-gesa dan boleh dijadikan alat BN untuk sekat kebebasan rakyat bersuara dan mengkritik kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mencelah dengan berkata, Muhyiddin tidak seharusnya membangkitkan siasatan di negara luar, sebaliknya memfokuskan undang-undang di negara ini sahaja.

“Apabila luar negara buat siasatan itu dan ini, tetapi kita di Malaysia ikut undang-undang mana? Luar negara atau undang-undang Malaysia?

“Biarlah undang-undang Malaysia yang ambil tindakan sama ada sesuatu kes itu benar atau tidak,” kata timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu.

Muhyiddin kemudian mengingatkan Tajuddin yang RUU berita palsu itu turut membabitkan negara, bukannya individu atau pihak tertentu sahaja.

“Laporan DoJ itu menyentuh isu serius. Ia tuduhan serius, tetapi ini bukannya tuduhan, tetapi laporan DoJ, ia memang di luar negara, tetapi ada kaitan dengan Malaysia.

“(Laporan itu mendakwa) ada pengubahan wang haram dikatakan berkaitan dengan 1MDB yang merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan.”

RUU Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu, akan diguna pakai ke atas sebarang berita tidak benar dikaitkan dengan Malaysia atau rakyat Malaysia.

Individu atau mana-mana pihak yang menyiarkan berita tidak benar, walaupun kesalahan itu dilakukan di luar negara dan bukannya dilakukan rakyat Malaysia, tindakan juga boleh diambil mengikut akta itu.

RUU itu mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.