AMPANG: Gerakan Baju Merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Yunos akan
menghantar 10,000 aktivis mereka untuk menghalang BERSIH 2.0 daripada
membuat kacau di Parlimen esok.
Jamal berkata, Baju Merah mahu memastikan BERSIH 2.0 menghormati para
wakil rakyat yang akan bersidang apabila kerajaan membentangkan cadangan
persempadanan semula kawasan pilihan raya pada hari itu.
“Kalau ‘baju kuning’ keluar, kami juga akan keluar beramai-ramai bagi
memastikan apa yang diidamkan dan dicita-cita oleh BERSIH untuk adakan
huru hara di dalam negara akan kami halang,” katanya pada sidang media
di ibu pejabat gerakan itu semalam.
Antara langkah yang akan diambil ialah membuat laporan polis dan
mengarahkan peguam mengambil perintah mahkamah menghalang tunjuk
perasaan itu.
“Kami tidak teragak-agak lakukan apa sahaja untuk mematahkan
demonstrasi tak bermoral, tak bermaruah,” katanya menurut sebuah
portal.
BERSIH 2.0 mahu menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia
bagi membantah cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada
Rabu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan Laporan Kajian Semula
Persempadanan kawasan pilihan raya kepada Najib pada 9 Mac selepas
memulakan proses itu pada 2016.
Persempadanan semula boleh dilakukan selepas 8 tahun persempadanan kali terakhir tamat.
Mengulas lanjut, Jamal berkata sebaiknya BERSIH 2.0 tidak menganggu
persidangan di Dewan Rakyat, dan menyerahkan perbahasan isu
persempadanan semula pada para wakil rakyat.
“Biarlah ahli Parlimen kita yang bersidang. Sebenarnya persempadanan
ini dah lama dibincangkan dan baru nak dimuktamadkan sama ada
dipersetujui atau tidak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.