Khamis, 1 Februari 2018

Vasanthapiriya, pelajar dituduh curi iPhone guru, meninggal dunia

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah Pulau Pinang, yang cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri iPhone milik gurunya minggu lalu, menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi. 
 
Presiden Tamilar Kular Malaysia, David Marshel Pakianathan menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook memaklumkan  perkara berkenaan selepas melawat mayat mendiang M Vasanthapiriya di Hospital Seberang Jaya.
 
“Kita harap mendiang akan menerima keadilan.
 
“Kita harap perkara ini tidak akan berlaku pada mana-mana murid sekolah di Malaysia. Saya harap semua pelajar dan belia jangan mengambil keputusan untuk membunuh diri. Segala masalah kita boleh selesaikan, jika kita berkongsi masalah kita dengan pihak yang betul.
 
“Hari ini kita kehilangan disebabkan beberapa faktor, salah satunya sekolah tidak mengamalkan SOP yang sepatutnya,” kata David, yang juga ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). 
 
Menurut David, keadaan Vasanthapiriya mula kritikal selepas tekanan darahnya mulai lemah lewat petang semalam, dan bertambah buruk pada jam 3.00 pagi tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir. 
 
Vasanthapiriya, 13, pelajar SMK Nibong Tebal pada minggu lalu cuba membunuh diri selepas dituduh mencuri iPhone milik seorang guru di sekolah itu.
 
Murid itu bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan.
 
Dalam satu laporan polis oleh keluarganya, Vasanthapiriya dipanggil oleh tiga guru pada Rabu minggu lalu kerana disyaki mencuri iPhone 6 milik salah seorang guru.
 
Menurut laporan polis itu, Vasanthapiriya turut dipukul oleh seorang guru pada bahagian belakang tubuhnya di hadapan pelajar-pelajar lain.
 
Pada lewat petang hari itu, suami guru yang hilang telefon bimbit itu tiba di sekolah dan mengugut mahu menyerahkan Vasanthapiriya kepada polis jika masih enggan mengaku mencuri, menurut laporan itu.
 
Vasanthapiriya kemudian dibawa ke rumahnya untuk bertemu ibu bapanya bagi memaklumkan perkara itu.
 
Ketika ibu bapanya dan pihak guru keluar rumah untuk menyelesaikan perkara berkenaan, Vasanthapiriya cuba membunuh diri.
 
Dia ditemui ibu bapanya yang pulang ke rumah pada kira-kira 8.20 malam dalam keadaan tergantung pada seledang yang diikat pada paip pendingin hawa, dan tidak sedarkan diri, bagaimanapun ketika itu masih bernyawa. 
 
Dia segera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan. Remaja itu kemudian disahkan mati otak dan diberi sistem sokongan hidup ekoran kegagalan organ.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.