Pemuda Umno membidas Shafie Apdal kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap Anifah Aman.
PETALING JAYA: Pemuda Umno hari ini membidas Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana membuat tuduhan tidak berasas terhadap Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman berhubung satu ucapan baru-baru ini.
Exco Arnizan Mohd Ali berkata tuduhan mengatakan Anifah mempertikaikan status Shafie tidak benar kerana menteri itu tidak pun menyebut nama beliau.
“Bagi saya amat jelas bila mana sudah tidak ada modal politik untuk meraih undi, apa sahaja akan cuba dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 9 Februari lalu di satu majlis makan malam Tahun Baru Cina, Anifah menyeru rakyat Sabah mempertahankan negeri itu dengan memastikan kerajaan negeri hanya dipimpin oleh penduduk Sabah Asli tanpa mengira latar belakang kaumnya.
Warisan kemudian membuat laporan polis terhadap Anifah kerana didakwa menimbulkan kebencian kaum terhadap parti itu dan juga keturunan Shafie.
Arnizan berkata Anifah mengeluarkan pendapat selari dengan perjuangan hak dan kepentingan pribumi Sabah.
“Anifah tidak mempertikaikan status kewarganegaraan mana-mana individu secara spesifik. Tidak perlu diperjelaskan panjang lebar, sebagai anak Sabah, kita tahu realiti yang berlaku di negeri kita termasuk ancaman luar yang kita hadapi.”
Namun begitu, Arnizan berkata perjuangan Shafie untuk Sabah terutama sepanjang beliau memegang portfolio menteri wajar dipersoalkan.
“Bagi beliau, status beliau tidak wajar dipertikai dan tidak wajar juga perjuangan beliau tentang Sabah diperkecilkan. Sejak bila Shafie bersuara tentang hak dan kepentingan Sabah?
“Ketika Anifah memulakan secara terbuka diskusi berkaitan kepentingan Sabah, di mana suara Shafie yang ketika itu masih berada dalam kerajaan?” kata Arnizan.
Arnizan mengambil maklum Shafie hari ini lantang mengkritik Umno dan BN dalam isu-isu negeri, namun berkata pemergiaan Shafie daripada Umno pada Julai 2016 bukan kerana Sabah.
“Tetapi marah kerana beliau digantung keahlian Umno dan kecewa digugurkan daripada kabinet kerana isu lain dan bukannya kepentingan Sabah,” katanya.
“Umno dan BN buruk di mata beliau kerana isu kepentingan Sabah atau kepentingan Shafie dalam parti dan kerajaan?”
Arnizan berkata salah satu strategi memperjuangkan kepentingan Sabah adalah melantik rakyat Sabah ke jawatan-jawatan penting di peringkat kerajaan persekutuan
Menurut beliau, pencapaian Shafie tidak seberapa berbanding Anifah dan menteri-menteri lain seperti Datuk Seri Rahman Dahlan (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Seri Salleh Said Keruak (Komunikasi dan Multimedia).
“Semua ini mereka lakukan dalam tempoh kurang 2 tahun menjadi menteri persekutuan. Soalan saya yang terakhir, sejak menjadi menteri penuh tahun 2004 hingga 2015 di 3 kementerian, siapakah dan adakah anak Sabah yang Shafie posisikan dalam jawatan kanan strategik dalam perkhidmatan awam persekutuan?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.