Rabu, 21 Februari 2018

Srikandi PPBM Bahagian Kota Bharu Dakwa Diperguna






 MYNEWSHUB

 

KOTA BHARU – Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kota Bharu mendakwa mereka dipergunakan apabila terpaksa mengeluarkan dana sendiri bagi menjayakan keseluruhan program yang dilaksanakan untuk parti itu.


Ketua Srikandi PPBM Kota Bharu, Normala Abd Kadir berkata sejak pembabitannya dalam parti itu tiga tahun lepas, pihaknya tidak menerima sebarang dana daripada PPBM bagi melaksanakan program parti.

“Sebaliknya kebanyakan dana diusahakan sendiri oleh anggota atau ketua bahagian masing-masing sedangkan parti ini ditubuhkan oleh seorang yang kaya-raya. Bagi saya, ini sudah jauh menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya yang ingin memperjuangkan nasib rakyat,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Normala berkata sekiranya benar PPBM ingin memperjuangkan rakyat, pucuk pimpinan yang perlu mengeluarkan dana bagi menggerakkan aktiviti parti.

Tetapi katanya perkara sebaliknya yang berlaku dan ia dianggap sebagai satu penyelewengan kepada mereka dan juga penyokong lain parti itu.

Normala berkata mereka juga terkilan dengan kenyataan pucuk pimpinan parti itu yang meminta anggotanya keluar parti jika tidak dapat bersabar dalam keadaan tersebut.

Katanya kenyataan itu seperti menindakkan sumbangan mereka kepada parti sebelum ini yang meluangkan masa, tenaga serta wang ringgit sendiri untuk menggerakkan parti.

“Dalam hal ini adakah PPBM sekarang benar-benar hendak perjuang nasib rakyat atau sekadar hendak menjaga kepentingan tertentu bagi mendapatkan semula kuasa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan isu itu bukan sahaja boleh menggugat keyakinan anggota PPBM tetapi juga kekangan besar parti untuk menawan Kelantan.

Pada masa sama Normala berkata beliau bersedia menerima sebarang tindakan yang bakal dikenakan berikutan menyuarakan ketidakpuasan hati itu.

Normala juga merancang untuk meletak jawatan dan berkata pengundurannya mungkin akan mempengaruhi lebih 500 anggota Srikandi Kota Bharu. – BERNAMA

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.