Rabu, 28 Februari 2018

Pok Ya Cong Codei tolak tawaran politik

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Bahang drama Pok Ya Cong Codei terus membuatkan pengarahnya kurang selesa apabila ditawarkan untuk kempen politik.
 
Pengarahnya pelawak Sabri Yunus berkata mana-mana kempen parti politik akan ditolak kerana kerja seninya lebih menjurus ke arah penyatuan rakyat.
 
“Datang ke rumah saya pakai baju parti memperkenalkan diri bakal calon Parlimen. Datang mengajak saya untuk buat program.
 
“Saya minta maaf kerana saya meletakkan diri saya sebagai elemen penyatuan bukan perpecahan," dipetik portal MMO.
 
“Daripada zaman muda, hanya elemen Wan Ismail Golok saja orang politik boleh gelak bersama depan televisyen. Hal lain tidak boleh. Mesti gaduh punya.
 
“Mereka akan sama-sama gelak menonton Wan Ismail Golok. Dari situ lagi saya pegang, saya elemen penyatuan,” katanya merujuk sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.
 
Pok Ya Cong Codei masih hangat diperkatakan di media sosial selepas drama yang ditayangkan Januari lalu sarat dengan mesej tersirat.
 
Bakal menyusul sekuel Aidilfitri ini, Sabri berkata sekuel drama itu tidak akan merungkai persoalan yang ditinggalkan sebelum ini.
 
Sementara itu, Sabri berkata karyanya masih dihormati kerana beliau tidak memilih jalan yang dilalui rakan-rakannya.
 
Katanya, pelawak lama yang cenderung menyertai pertandingan bersama pelawak baharu hanyalah perbuatan “membunuh diri”.
 
“Kenapa mereka masuk bertanding? Saya juga ditawarkan tetapi dari awal lagi saya menolak sebab saya lebih bijak berfikir selangkah daripada mereka.
 
“Itu sebenarnya gelanggang untuk membunuh orang lama. Tidak ada cara lain, mereka ajak masuk gelanggang.
 
“Mereka kata ini peluang masuk TV, RM4,000 seminggu. Sejauh mana mereka boleh bertahan? Lima minggu? Itulah duit terakhir mereka akan terima dalam industri.
 
“Apabila saya tidak masuk, saya dihormati sebab saya tiada ukuran. Sebab itu saya masih dipanggil sebab saya tidak masuk bertanding.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.