THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pakatan Harapan mempunyai kebimbangan yang berasas bahawa pilihanraya umum ke 14 akan menjadi pilihanraya yang terkotor dalam sejarah Malaysia.
Katanya ” Tatkala gelombang kebangkitan rakyat menolak Najib dan Barisan Nasional semakin ketara, jentera Barisan Nasional juga sedang giat merancang pelbagai penipuan untuk mempertahankan kuasa.
“Perdana Menteri Datuk Seri dalam kenyataannya semalam memberikan jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang bentuk penipuan dalam pilihanraya umum ke-14. Kenyataan ini hanyalah berupa penafian semata-mata”, ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, persempadanan semula kawasan pilihanraya yang sedang berada dalam proses akhir untuk mendapatkan kelulusan Parlimen dibuat dengan sebegitu rupa untuk memberikan kelebihan kepada BN.
Daerah-daerah mengundi yang dimenangi oleh BN dalam pilihanraya umum ke-13, dipindahkan ke kawasan-kawasan DUN atau Parlimen yang dimenangi secara tipis oleh BN, dengan tujuan untuk menambah majoriti BN di kawasan-kawasan tersebut dalam PRU-14.
Pada masa yang sama, daerah-daerah mengundi yang dimenangi oleh pembangkang dalam PRU-13 dipindahkan keluar dari kawasan DUN atau Parlimen yang dimenangi secara tipis oleh pembangkang, dengan tujuan untuk mengurangkan undi pembangkang dalam kawasan tersebut dan seterusnya memenangkan BN dalam PRU-14.
“Akan terdapat kawasan-kawasan Parlimen yang menjadi longgokan undi pembangkang yang jumlahnya adalah lebih kecil berbanding kawasan-kawasan Parlimen yang menyaksikan pertambahan undi BN berasaskan keputusan PRU-13.
“Pakatan Harapan mengetahui bahawa jentera Barisan Nasional bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia untuk melakar peta persempadanan pilihanraya yang baharu untuk memberikan kelebihan kepada BN dalam PRU-14. Sesiapa sahaja yang meneliti peta persempadanan baharu akan dapat mengetahui bahawa ia dibuat secara sengaja untuk memihak kepada BN.
Bukankah ini satu bentuk penipuan yang nyata?
“Pakatan Harapan juga mendapati terdapat ribuan nama dalam daftar pemilih yang tidak mempunyai alamat lengkap. Ini menimbulkan keraguan tentang siapakah identiti mereka? Adakah mereka benar-benar pemilih yang layak atau tidak? “, ujarnya lagi.
Muhyiddin berkata, selain itu, tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihanraya Malaysia, kategori pengundi pos ditambah dengan merangkumi kakitangan kerajaan yang sebelum ini tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengundi sebagai pengundi biasa. Jika sekalipun kerajaan berhasrat untuk memberikan kelonggaran kepada mereka untuk mengundi tanpa menjejaskan tugas rasmi, maka tidak sepatutnya menjadi masalah kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari mengundi sebagai hari cuti umum.
Pakatan Harapan juga telah dapat mengesan sejumlah anggota tentera dipindahkan ke kem-kem tentera yang belum siap dibina di beberapa kawasan pilihanraya yang dimenangi secara tipis oleh BN dalam PRU-13. Dengan pemindahan ini, anggota-anggota tentera ini layak mengundi sebagai pengudi pos di kawasan Parlimen dan DUN di mana mereka ditempatkan.
Dengan proses undian pos yang tidak telus serta terdedah kepada penipuan, Pakatan Harapan mempunyai kebimbangan yang berasas bahawa BN akan menggunakan proses undian pos untuk menipu dalam PRU-14. Penipuan dan manipulasi undian pos akan dilakukan oleh BN semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka yang ibaratnya sedang berada di hujung tanduk, katanya.
‘Najib tidak perlu membohongi rakyat dengan mengatakan BN tidak akan menipu dalam PRU-14.
Hakikatnya, penipuan telah dan sedang dilakukan oleh BN kerana mereka semakin hari semakin takut akan kalah dalam pilihanraya. Buktinya, sehingga ke hari ini, Najib masih belum berani untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya.
“Dengan segala kuasa yang ada pada Najib dan BN, mereka sudah pasti akan melakukan apa sahaja bentuk penipuan untuk mengekalkan kuasa. Najib pasti tahu apa akibat yang akan ditanggung olehnya jika BN kalah. Najib juga tahu BN pasti akan kecundang jika pilihanraya dijalankan secara bebas dan adil.
“Jika Najib benar-benar ingin memberi jaminan bahawa tiada penipuan dalam PRU 14, maka Pakatan Harapan mendedesak kerajaan supaya mengundang pasukan pemantau pilihanraya yang bebas daripada Sekretariat Komanwel dan PPB untuk memantau perjalanan PRU-14.
“Namun, kita tidak boleh menolak hakikat bahawa dengan segala kuasa yang ada pada Najib dan BN, mereka akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa”, katanya.
Tambah Muhyiddin “Justeru, yang penting ialah apa yang boleh dibuat oleh rakyat? Adakah kita sebagai rakyat akan hanya berpeluk tubuh dan menyerahkan segalanya kepada takdir? Adakah kita rela membiarkan rejim kleptokrat BN terus berkuasa selepas PRU-14?
“PRU-14 bukanlah pertembungan antara PH dan BN. PRU-14 adalah pertembungan antara rakyat dan BN untuk menghentikan segala bentuk kerosakan dan kemungkaran yang sedang dilakukan oleh Najib dan BN.
“Saya yakin, apabila majoriti besar rakyat bangkit menolak BN menerusi peti undi, apa sahaja bentuk penipuan yang dilakukan oleh Najib dan BN tidak akan mampu menyelamatkan mereka. Pilihan ada di tangan kita sebagai rakyat untuk menggunakan kuasa kita menolak rejim kleptokrat BN dan menyelamatkan Malaysia”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.