PARTI Islam Se-Malaysia (PAS)
Negeri Sarawak memerhatikan secara rapat berkenaan kes penukaran status
agama daripada Islam kepada Kristian oleh empat orang individu. Mahkamah
Persekutuan akan membuat keputusan hari ini permohonan semakan bidang
kuasa oleh Mahkamah Syariah Sarawak membabitkan pengesahan keluar
daripada agama Islam yang dimohon empat individu tersebut.
PAS Sarawak menyeru seluruh umat Islam
di Malaysia dan khususnya di Sarawak untuk berdiri teguh bersama
institusi Islam di negeri ini dalam perbicaraan kes ini.
Kes ini sekali lagi jelas menunjukkan
pertembungan antara bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
Usaha PAS di peringkat nasional untuk memperkasakan peranan dan
meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Undang-undang Syariah
melalui pindaan Akta 355 bertepatan pada masanya dan perlu disokong
serta didukung oleh pimpinan politik Islam Melayu di negeri ini.
Usaha untuk memartabatkan institusi
Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan selaras kesucian dan ketinggian
agama Islam itu sendiri. Ini juga selaras dengan kedudukan Islam sebagai
Agama Persekutuan yang istimewa berbanding agama-agama lain di negara
ini sebagaimana termaktub di dalam kepada Perkara 3(1) Perlembagaan
Persekutuan.
Kerjasama erat antara semua
Agensi-agensi kerajaan, NGO-NGO, Parti-parti politik dan orang
perseorangan amatlah mustahak dalam mempertahankan akidah umat Islam di
negeri ini. Suka juga ditekankan betapa pentingnya seluruh warga
Malaysia yang terdiri dari masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama ini
menghayati sejarah negara agar tidak mencabar isu sensitif melibatkan
umat Islam.
Dalam masa yang sama, PAS Sarawak juga
menyeru agar usaha dakwah dan penerangan berkenaan kefahaman dan
keindahan Islam dapat terus digemblengkan bersama. Kebajikan mualaf dan
saudara kita turut perlu sama-sama dipertingkatkan dan diambil perhatian
serius oleh semua pihak.
PAS Sarawak sekali lagi menyeru seluruh
umat Islam negeri ini untuk bersatu dalam hal berkaitan akidah tanpa
mengorbankan perpaduan kaum yang telah terjalin sekian lama. Marilah
terus bersama membina Malaysia Sejahtera dan Sarawak Sejahtera dengan
Islam yang merupakan rahmat untuk semua.
Dikeluarkan Oleh:
HAJI JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.