SHAH ALAM: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad
Al-Bakri bimbang tindakan melancarkan produk Naelofar Hijab di sebuah
kelab malam di ibu negara pada Selasa, akan membawa satu fenomena
normalisasi dalam bertudung.
Dalam surat terbuka kepada pemilik jenama itu, Nor Neelofa Mohd Noor,
mufti itu berkata tidak salah mencipta kelainan, namun personaliti
terkenal yang juga usahawan berkenaan perlu menghindar daripada fitnah
serta tohmahan.
"Kami sangat khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu
fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan
asalkan bertudung.
"Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan
itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah dan
tohmahan perlulah sentiasa dielakkan.
"Satu kaedah yang masyhur di dalam Islam “Matlamat tidak menghalalkan
cara”. Benar, perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat
yang murni. Namun begitu, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya
keberkatan," katanya dalam surat terbuka itu.
Zulkifli berkata pihaknya sedar bukan mudah untuk Neelofa menggalas
tugas sebagai ‘wanita besi’ dan ‘gergasi’ dalam perniagaan dan
kerjayanya, namun beliau tetap perlu menghayati syariat Islam.
"“Kami berpesan kepada Hajjah Neelofa untuk sama-sama menghayati syariat Islam yang sebenarnya.
“Di sini (terdapat) tiga perkara iaitu tanyalah ulama’ sebelum
bertindak, sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan carilah rezeki
yang diberkati Allah SWT,” tulisnya.
Neelofa selepas dikecam pelbagai pihak bertegas tidak akan peduli
segala kecaman yang diterimanya malah menuduh orang luar memperbesarkan
isu itu.
Neelofa berkata, tetamu acara itu lebih tahu situasi sebenar di mana
premis terbabit berubah daripada sebuah kelab kepada ruang acara
pelancaran produk.
"Saya tak apa-apa pun (dengan tohmahan) kerana tahu apa yang saya
lakukan. Tempat itu sendiri sudah ditukar dari pusat hiburan ke lokasi
acara.
"Malah, tiada alkohol pun dihidangkan. Sesiapa yang ada di situ tahu
kisah sebenar. Orang yang tiada di sana pula melebih-lebih," ujar
Neelofa.
Kenyataan pengacara program hiburan Astro, Meletop itu dianggap angkuh
oleh nitizen yang terus membanjiri ruangan komen di Instagramnya.
Berikut adalah kenyataan penuh Mufti Wilayah Persekutuan:
Assalamualaikum…
Semoga Hajjah Neelofa dalam keaadan sihat sejahtera hendaknya.
Alhamdulillah kami merafa’kan setinggi kesyukuran ke atasnya,
selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, para sahabat yang mengikut
jejak langkahnya hingga ke hari akhirat. Kami telah menerima berita
yang hangat melalui Facebook, Instagram dan media sosial lain berkaitan
isu pelancaran produk Naelofar Hijab di Zouk, Kuala Lumpur.
Kami mendapat pelbagai pandangan sama ada yang mengecam dan tidak
kurang juga yang menyokong tindakan tersebut. Justeru kami terpangil
untuk menulis surat terbuka kepada Hajjah Neelofa berkenaan hal ini.
1. Tudung adalah lambang kehormatan wanita. Tudung adalah simbol
kepatuhan seorang hamba kepada perintah Tuhannya. Tudung juga adalah
salah satu bentuk kesempurnaan dalam beragama. Sebenarnya, tudung adalah
simbol sifat malu seorang wanita, simbol akhlak Muslimah yang perlu
dipelihara dan simbol kemegahan Islam yang wajar dibanggakan.
2. Pemakai tudung tidak semestinya sempurna, namun sentiasa
berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Indahnya pemakai
tudung bukan hanya kerana memelihara auratnya, tetapi lebih daripada
itu, mereka sebenarnya memelihara agama-Nya dan mematuhi Allah dan
Rasul-Nya.
3. Sangat sukar sebenarnya untuk konsisten bertudung dengan
memelihara perilaku dan adab kesopanan. Sehinggakan ada yang menolak
untuk bertudung kerana tidak mahu hipokrit. Sedangkan perubahan daripada
tidak bertudung, kepada bertudung bukanlah satu bentuk hipokrit kerana
ia tidak hanya melibatkan penghijrahan diri tetapi juga penghijrahan
hati dalam usaha menggapai redha Ilahi. Jika bukan redha-Nya yang kita
impi, apa lagi yang hendak kita cari di dunia ini?
4. Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala
kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah
dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan. Satu kaedah yang masyhur di
dalam Islam “Matlamat tidak menghalalkan cara”. Benar, perniagaan untuk
mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni. Namun begitu,
kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan.
5. Kami sangat khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal
membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan
dibenarkan asalkan bertudung. Kekhuatiran ini bukan bermakna agama
mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita
daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan
yang bersyariat.
6. Kepada para ikhwah dan akhawat, masyarakat Muslim Malaysia yang
memberi teguran dan saranan, kami merasakan banyak manfaat dan istifadah
yang dapat dikutip. Dalam keadaan seperti ini, alangkah baiknya kita
mempunyai nada yang sama, penuh rahmah dan hikmah dalam memperbaiki diri
sesama kita. InsyaAllah itulah yang terbaik. Memalukan, mengaibkan dan
memberi tohmahan dan fitnah kepada beliau, bukanlah akhlak seorang
Muslim. Semoga amar ma’ruf dan nahi mungkar yang dijalankan dengan
kaedah dakwah yang baik akan membekas dalam sanubari kita.
7. Kami mengenali Hajjah Neelofa sebagai simbol Muslimah yang
berjaya. Tidak ramai yang mampu menggalas tugas sebagai “wanita besi”
dan “gergasi” dalam perniagaan dan kerjaya. Tetapi anda sudah
membuktikannya, malah membanggakan Malaysia dan dunia Islam. Akhir
kalam, kami berpesan kepada Hajjah Neelofa untuk sama-sama menghayati
syariat Islam yang sebenarnya. Kami noktahnya disini 3 perkara: (i)
Tanyalah ulama’ sebelum bertindak (ii) Sentiasa memelihara imej wanita
bertudung (iii) Carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.
Kami berdoa semoga Hajjah Neelofa terus maju di dalam kehidupan dan
kerjaya serta sentiasa memperoleh taufiq, hidayah dan rahmat-Nya.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,
Mufti Wilayah PersekutuanHIBU
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.