Jumaat, 23 Februari 2018

Luar biasa peruntukan tak dapat hingga hujung Februari - Yunus Hairi

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi mengesahkan kesemua 13 ADUN PAS negeri masih belum menerima peruntukan tahunan untuk kawasan mereka sehingga hari ini, meskipun sudah menghampiri penghujung Februari.  
 
Ahmad Yunus yang dihubungi Antarapos berkata, perkara itu sememangnya sesuatu yang luar biasa, apatah lagi Selangor merupakan negeri yang mencatatkan prestasi kewangan yang cemerlang.   
 
"Setakat ini tuntutan-tuntutan kita belum dapat kelulusan lagi.
 
"Biasanya dalam bulan Februari kita dah boleh hantar dan mendapat bayaran balik tuntutan program yang kita buat. Memang agak luar biasa pada tahun ini. 
 
"Sepatutnya isu ini secara teknikalnya tak ada masalah sebab kewangan Selangor ada kewangan yang baik, dan belanjawan pun belanjawan yang diluluskan sidang DUN untuk tahun ini pada November tahun lepas," katanya.
 
ADUN Sijangkang itu berkata, beliau difahamkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi sedang cuba mengatur pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali bagi meminta penjelasan mengenai perkara berkenaan.   
 
"Kemungkinan Ustaz Sallehen akan hantar surat. Kalau betul ada sekatan, minta dilepaskan, kalau itulah yang berlaku," katanya sambil menambah, beliau turut difahamkan beberapa ADUN Pakatan Harapan (PH) turut mengalami masalah yang sama.
 
Rugikan kerajaan negeri 
 
Beliau berkata, adalah tidak wajar jika benar Azmin sengaja 'membekukan' peruntukan kepada wakil rakyat PAS atas alasan parti itu tidak lagi menjalinkan kerjasama dengan PKR di peringkat pusat.
 
"Saya rasa pendirian PAS jelas sebab itu pun keputusan dari PAS Pusat. Cuma isu sama ada ianya tindak balas daripada menteri besar, saya tak berani nak cakap. Kenyataan-kenyataan menteri besar dalam media pun beliau menafikan (beku peruntukan)  
 
"Kita melihat bahawa ini adalah keperluan rakyat, bukan sekadar keperluan untuk ADUN-ADUN atau bertujuan politik. Kerana saban tahun kita ada program mesra rakyat, projek kecil yang perlu dibantu kepada kawasan seliaan ADUN. 
 
"Kalau betul perkara ini sebagai tindak balas (terhadap PAS), ia satu yang merugikan kerajaan negeri sendiri. Datuk menteri besar sendiri sebutkan bahawa dia berpegang kerajaan hari ini adalah mandat daripada rakyat pada PRU13. Hatta ADUN BN pun ada peruntukan," katanya lagi.
 
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Selangor, Hasbullah Ridzwan pula berkata, parti itu dijangka akan mengadakan mesyuarat dalam jangka masa terdekat untuk membincangkan tindakan susulan untuk menuntut penyelesaian masalah berkenaan. 
 
ADUN Gombak Setia itu berkata, buat masa ini, PAS Selangor memegang kenyataan yang dikeluarkan Azmin sebelum ini bahawa masalah yang berlaku adalah disebabkan isu teknikal.
 
"Kita perlu mendapat taklimat dan maklum balas yang jelas daripada pihak menteri besar, sebab kita dimaklumkan dalam kenyataan menteri besar, ia tak ada masalah, maknanya ia hanya libatkan masalah teknikal. Dan kita harapkan itulah isunya, iaitu kerana masalah teknikal," katanya.  
 
PAS Selangor sebelum ini memberi kata dua kepada Azmin untuk menyelesaikan isu peruntukan kepada 13 wakil rakyatnya sehingga perayaan Tahun Baru Cina.
 
Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata jika isu peruntukan berkenaan gagal diselesaikan dalam tempoh itu, pihaknya akan mengambil langkah susulan. 
 
Sallehen sebelum ini tidak menolak kemungkinan pihaknya akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah jika isu pembekuan peruntukan wakil rakyat parti itu tidak diselesaikan 
segera. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.