KUALA LUMPUR – Pertubuhan Aduan Rakyat (PAR) pelik dengan sikap Datuk Zaid Ibrahim yang menentang akta penularan berita palsu di negara ini.
Presidennya, Datuk A. Chandrakumanan berkata, akta itu masih lagi peringkat awal cadangan tetapi Zaid bersama puak pembangkang sudah ‘melompat’ dengan mencetuskan pelbagai persepsi mengenai undang-undang itu.
Katanya, secara logiknya hanya mereka yang menyebarkan berita palsu dalam media sosial sepatutnya bimbang jika diimplementasikan tetapi pelik dengan apa yang dirisaukan Zaid.
“Agaknya Zaid tahu pelaksanaan akta menyekat berita palsu akan ‘mengikat’ pembangkang dan serangan propaganda yang dilakukan mereka selama ini menerusi Red Bean Army mereka dan portal mereka Sarawak Report.
“Lebih lebih lagi sesebuah berita palsu yang diterbitkan di portal pro pembangkang iaitu Malaysiakini dan Free Malaysia Today, akan menjadi berita benar sekaligus membelakangkan segala penipuan sebenar yang terselindung disebalik berita itu.
“Untuk pembangkang, mana-mana berita yang mengkritik dan membidas kerajaan BN, ia akan disebarkan luas tanpa mengambil kira kesahihannya.
“Saya rasa Zaid juga bimbang mereka yang menyebarkan berita palsu untuk kebaikan dan manfaat Pakatan Harapan akan didakwa pihak berkuasa,” tegasnya ketika dihubungi.
Chandrakumanan percaya rakyat akan lebih bertanggungjawab dalam meneliti dan menganalisa sesebuah berita sebelum menyebarkannya dengan kewujudan akta berkenaan.
“Sebenarnya ia telah menjadi ancaman jika berita seumpama tidak diperiksa rapi kesahihannya ia akan mengugat keselamatan negara di masa akan datang.
“Saya juga menasihatkan Zaid supaya tidak tertekan memikirkan bagaimana undang-undang baharu ini akan berfungsi dan biarlah Peguam Negara dan jabatannya mendidik rakyat mengenai akta berkenaan demi kebaikan masa depan negara,” tegas beliau lagi.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.