OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH
ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus komited
melahirkan guru KAFA berkualiti dalam perkhidmatannya untuk mendidik
generasi Islam.
Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, langkah
itu akan dipastikan menerusi latihan dan kursus diikuti mereka bagi
memastikan keupayaan serta profesionalisme sentiasa dipertingkatkan.
Katanya, ia seiring pendewasaan pendidikan alaf baru yang menuntut peningkatan kualiti perkhidmatan guru terbabit.
“Kepantasan perubahan dunia pendidikan, sains dan teknologi memberi impak besar kepada perkembangan pelajar.
“Dunia
tanpa sempadan antara cabaran yang wajib digalas supaya tidak
ketinggalan dalam arus pemodenan,” katanya pada Majlis Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang Guru KAFA tahun 2017, Meraikan Guru KAFA Bersara
dan Jasamu Dikenang 2018.
Pada
masa sama, Haris berkata, menjadi tanggungjawab pihaknya melahirkan
kakitangan berwawasan, berkualiti dan mempunyai jati diri tinggi supaya
mampu menggalas tugas dengan cemerlang.
“Tanggungjawab ini juga supaya profesion perguruan dipandang tinggi ke hadapan.
“Saya
juga menyeru guru bersiap siaga dalam menjangka kemungkinan yang akan
berlaku dalam pengurusan pendidikan alaf baru dengan penuh kesabaran
seperti terkandung dalam pelan pengurusan risiko JAIS,” katanya.
Dalam program itu, seramai 493 penerima Anugerah Perkhidmatan Guru Kafa Cemerlang (APC) menerusi lima kategori berbeza.
Daripada
jumlah itu, 320 penerima menerima APC bagi kategori Guru Kafa; seramai
29 orang menerima APC (Ketua Guru) dan APC penyelia KAFA seramai dua
orang.
Manakala, 93 orang menerima Anugerah Jasamu Dikenang 2018
(khidmat 25 tahun) dan seramai 49 orang menerima Anugerah Persaraan (60
tahun).
Anugerah disampaikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat
Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad
Yunus Hairi, di Dewan Jubli Perak, di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.