KEADILAN DAILY
Skandal Felda dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyumbang kepada kedudukan corot Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017.
Menurut Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar, selain dua isu itu, kes SRC International Sdn Bhd, derma RM2.6 bilion, serta keputusan mahkamah terhadap Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli turut menyumbang kepada kemerosotan itu.
“Inilah contoh hilangnya kepercayaan awam, pelabur dan komuniti peniaga terhadap sistem di negara ini.
“Selain itu keadaan korupsi dan politik juga memberi kesan kepada kedudukan negara dalam CPI,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.
TI-M dalam pembentangan indeks tersebut mengumumkan yang Malaysia berkongsi kedudukan ke-62 dengan Cuba apabila memperolehi 47 mata.
Mata sifar bermaksud negara tersebut paling rasuah dan 100 pula merujuk kepada negara yang sangat bersih.
Sebelum ini pada 2016, Malaysia lalu berada pada kedudukan ke-55 dengan 49 mata.
Menurutnya, pencapaian Malaysia bertambah baik bermula pada 2012 hingga 2014, tetapi mula jatuh pada 2015.
Tambahnya, Malaysia semakin corot selepas isu 1MDB terbongkar dan tidak diselesaikan.
“Kita perlu mencari punca utamanya. Apakah ia disebabkan didikan, sistem persekolahan, ekonomi atau kepimpinan negara? Kita tidak tahu,” katanya.
Laporan sama mendapati bahwa Singapura dan Brunei memperolehi kedudukan paling baik di negara Asean, masing-masing pada tangga keenam (84 mata) dan ke-32 (62 mata).
Malaysia berada di hadapan Indonesia dan Thailand, yang berkongsi kedudukan ke-96 dengan 37 mata.
Kemboja pula menduduki tempat tercorot pada kedudukan ke-161 dengan 21 mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.