ISMA WEB
Jemaah umrah tak terjejas dengan cukai baharu jika nilai ringgit naik
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI
– Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia
(BUMITRA) tidak menolak kemungkinan pelaksanaan cukai perbandaran ke
atas bilik hotel dan apartmen yang dikenakan kerajaan Arab Saudi minggu
lalu, memberi kesan kepada kenaikan harga pakej umrah.
Timbalan
Presiden BUMITRA, Harun KC Ahmmu berkata, pihaknya dimaklumkan berkenaan
pelaksanaan cukai baharu yang berkuat kuasa sejak 14 Februari itu,
menerusi surat pekeliling daripada pengendali umrah di Arab Saudi.
Meskipun
sudah maklum berhubung pelaksanaan cukai itu, namun katanya, setakat ini
BUMITRA masih belum mendapat penjelasan lanjut berkenaan kaedah
pengiraan kadar cukai baharu yang dikenakan itu.
“Kita maklum bahawa cukai nilai tambah (VAT) sebanyak lima peratus adalah wajib, kemudian cukai perbandaran ini pula.
“Bagaimanapun,
saya masih belum jelas mengenai perincian ke atas cukai perbandaran
bagi bilik hotel dan apartmen. Saya akan semak semula dan memaklumkan
kemudian,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Rabu lalu,
kerajaan Arab Saudi melaksanakan tarif cukai perbandaran bagi bilik
hotel bertaraf lima bintang sebanyak lima peratus, sementara bilik hotel
bertaraf tiga bintang dan ke bawah, ialah 2.5 peratus.
Menerusi
cukai itu, seorang tetamu hotel atau apartmen kini perlu membayar antara
7.5 peratus hingga 10 peratus tambahan bagi tarif bilik mereka.
“Apabila
cukai dilaksanakan, sudah pasti ia akan mengakibatkan kenaikan harga
kepada pakej umrah. Itu tentu sekali. Bagaimanapun, pelaksanaan cukai
sebegini akan dimanfaatkan kembali kepada pengguna.
“Namun, saya yakin ia akan menjejaskan sedikit harga pakej umrah berbanding sebelumnya,” kata Harun.
Mengulas
lanjut beliau berkata, bakal jemaah umrah tidak akan terbeban dengan
pelaksanaan cukai baharu itu memandangkan kadar ringgit semakin stabil.
“Segala-galanya
bergantung kepada kekuatan ringgit kita. Jika ringgit stabil dan baik,
rakyat tidak akan terasa dengan pelaksanaan VAT dan cukai perbandaran
ini.
“Namun, jika
ringgit kita lemah, pastinya kita dapat lihat kadar harga pakej umrah
itu meningkat. Setakat ini, kita melihat kebanyakan syarikat dan agensi
pengendali umrah boleh menerima VAT dan cukai perbandaran ini,” katanya.
Harun turut
menasihatkan agensi pelancongan negara supaya berurusan dengan agensi
pengendali umrah masing-masing di Arab Saudi, bagi mendapatkan maklumat
jelas berkenaan kaedah pelaksanaan cukai perbandaran itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.