SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mengemukakan
bantahan terhadap cadangan kedua persempadanan semula bahagian pilihan
raya melibatkan tujuh kawasan Parlimen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR).
Kawasan Parlimen berkenaan ialah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Subang, Kuala Langat, Gombak, Ampang dan Serdang.
Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar berkata antara bantahan itu
adalah berkaitan pemindahan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sawah Sempadan
di bawah DUN Sungai Burong ke DUN Permatang yang kedua-duanya terletak
dalam Parlimen Tanjong Karang.
“Alasan syor kedua SPR bahawa pemindahan PDM itu bertujuan
menyeimbangkan bilangan pengundi di kedua-dua DUN berkenaan dilihat
tidak bersesuaian,” kata Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang
kepada pemberita selepas sesi pendengaran bantahan kepada SPR.
SPR mengadakan siasatan tempatan kali kedua bagi syor persempadanan
negeri Selangor pada hari ini hingga 28 Februari. Tempoh bantahan bagi
cadangan kedua persempadanan semula bahagian pilihan raya Parlimen dan
DUN Selangor tamat pada 14 Februari lepas.
Semasa mengulas lanjut, Noh berkata pemindahan PDM dilihat tidak
berlandaskan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan yang
menyatakan persempadanan semula kawasan bukan hanya bergantung kepada
keseimbangan pengundi semata-semata tetapi sepatutnya perlu dipengaruhi
faktor geografi.
“Keluasan DUN Permatang adalah 2/3 daripada Parlimen Tanjong Karang manakala DUN Sungai Burong hanya 1/3 sahaja.
“Jika PDM Sawah Sempadan dipindahkan, bilangan pengundi DUN Permatang
yang sekarang ini berjumlah 21,409 orang akan bertambah menjadi 22,831
manakala DUN Sungai Burong yang ketika ini mempunyai 25,091 pengundi,
akan berkurangan kepada 23,757 orang,” katanya.
Disebabkan itu, Noh berkata tindakan pemindahan PDM itu kelak akan
menyukarkan wakil rakyat terlibat menyantuni pengundi kerana faktor
kawasan sawah padi terlalu luas.
Beliau turut mempersoal SPRM mengenai pemindahan PDM berkenaan
sedangkan terdapat 2 lagi PDM di kawasan sama iaitu PDM Sawah Sempadan
Utara dan PDM Sawah Sempadan Selatan tidak pula dipindahkan.
Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, berkata bantahan itu dibuat berikutan syor kedua SPR itu tidak
mengambil cadangan dikemukakan BN semasa syor pertama dan ia dilihat
memberi kelebihan kepada gabungan pembangkang Pakatan Harapan di
Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.