Rabu, 28 Februari 2018
Bayi yatim piatu terima pencen Perkeso
SITIAWAN: Seorang bayi perempuan berumur 5 bulan yang kehilangan ibu bapa dalam kemalangan di Jalan Sitiawan-Teluk Intan pada 15 Februari lalu, menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini.
Adwa Maisarah Sharizal menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibunya Siti Nor Fazirah Amran, 26, dan ayah, Sharizal Harun, 28, maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah kereta jenis Proton Iswara.
Bayi itu kini dijaga neneknya Nasirah Mohd Taib, 45.
Pengurus Pejabat Perkeso Manjung, Mohd Shaperi Md Salleh berkata pihaknya menyerahkan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 dan Adwa Maisarah juga akan menerima pencen penakat sebanyak RM777 sebulan bermula Mac sehingga berusia 21 tahun.
“Diharapkan dengan faedah yang diterima ini, sedikit-sebanyak akan membantu mengurangkan beban keluarga mangsa terutama kepada anak mangsa yang masih kecil,” katanya kepada pemberita pada Penyerahan Cek Faedah Perkeso kepada keluarga mangsa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang Datuk Rashidi Ibrahim di Kampung Sungai Limau.
Dalam kejadian 8.40 malam itu, Allahyarham Siti Nor Fazirah menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung, sehari selepas kejadian manakala suaminya meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, Nasirah berkata dia reda dengan kejadian menimpa anak dan menantunya serta akan menjaga cucunya sebaik mungkin.
“Saya bukan orang senang namun saya akan cuba memberikan kemewahan kasih sayang dan perhatian kepada Adwa Maisarah,” katanya.
Menurut Nasirah, anak dan menantunya bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat kontraktor pembersihan loji di Manjung dan pemberian pencen penakat itu sedikit-sebanyak membantu meringankan beban dalam membesarkan Adwa Maisarah seperti kanak-kanak lain.
“Saya terharu menerima kedatangan Perkeso hari ini dan duit ini akan digunakan untuk menyelesaikan urusan tertangguh arwah sebelum ini.
“Pencen bulanan akan digunakan sepenuhnya bagi keperluan Adwa dan akan disimpan untuk masa depannya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.