KUALA LUMPUR: Seorang bapa yang dihukum penjara 48 tahun dan 24 sebatan
kerana melakukan 623 kesalahan jenayah seksual terhadap anak perempuan
kandungnya berusia 15 tahun, mengemukakan rayuan bagi mengurangkan
hukuman penjara itu.
Rayuan lelaki berusia 37 tahun yang sebelum ini bekerja sebagai ejen
unit amanah itu akan didengar pada 23 April ini di Mahkamah Tinggi
Jenayah, di sini.
Penolong Kanan Pendaftar Nur Ain Mustapa menetapkan tarikh itu ketika
sebutan kes tersebut di hadapannya, hari ini dengan dihadiri lelaki itu
yang juga perayu, manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan
Pendakwa Raya Aimi Syazwani Sarmin.
Aimi Syazwani memberitahu wakil media, mahkamah memerintahkan perayu
melantik peguam untuk mewakilinya dan memintanya memohon bantuan pihak
penjara bagi melantik peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
"Mahkamah memberitahu perayu sekiranya gagal melantik peguam pada
tarikh perbicaraan rayuan, dia perlu mewakili kesnya sendiri," kata Aimi
Syazwani sambil menambah lelaki itu menfailkan rayuannya pada Oktober
tahun lepas, iaitu sebulan selepas dijatuhkan hukuman.
Kesnya mendapat perhatian ramai kerana ini pertama kali seorang
tertuduh menghadapi pertuduhan jenayah seksual yang sangat banyak.
Pada 8 September 2017, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di
Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara terhadap lelaki itu selepas dia
mengaku bersalah atas 591 pertuduhan meliwat, 30 pertuduhan melakukan
seksual fizikal, satu pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan
penganiayaan seks terhadap mangsa yang juga anak perempuan sulungnya.
Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman penjara 28 tahun bagi
kesalahan merogol, manakala untuk penganiayaan seks, bapa tiga anak itu
dihukum penjara 20 tahun.
Dia juga dihukum penjara 20 tahun bagi setiap pertuduhan melakukan
seksual fizikal dan ketiga-tiga hukuman itu diperintahkan berjalan
serentak dari tarikh tangkap pada 26 Julai lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.