Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Amanah percaya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali akan mengambil langkah yang sepatutnya dalam
menyelesaikan isu agih kerusi di negeri itu.
Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir yakin Azmin akan meletakkan
kepentingan Pakatan Harapan (PH) sebagai keutamaan sekali gus akan
menjayakan rundingan agih kerusi menerusi jawatankuasa khas yang
diumumkan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.
"Saya percaya. Saya menaruh kepercayaan penuh bahawa Pengerusi PH
Selangor akan segera mengambil langkah yang sewajarnya. Sekiranya proses
ini dilambat-lambatkan, yang ruginya adalah rakyat Selangor
seluruhnya," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah
Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar bahawa pihaknya menunggu
arahan daripada Azmin sama ada akur menubuhkan jawatankuasa khas
berhubung isu agih kerusi atau tidak.
Rundingan agih kerusi di Selangor sebelum ini dibuat menerusi jawatankuasa pilihan raya, namun dibantah Amanah, PPBM dan DAP.
Polemik itu menyaksikan Dr Mahathir bertindak mengumumkan penubuhan
jawatankuasa khas dan bertegas jawatankuasa pilihan raya tidak boleh
digunakan untuk tujuan itu.
Justeru, Anuar berkata beliau berharap Azmin akur dan menghormati keputusan Majlis Presiden PH itu.
"Sebagai Pengerusi yang telah kita putuskan bersama, kita hormat beliau
sebagai pengerusi tentulah beliau akan mengambil langkah-langkah yang
bijaksana.
"Saya percaya Datuk Seri Azmin akan memikirkan soal masa depan PH negeri Selangor," katanya.
Dalam pada itu ujarnya, sepertimana rundingan yang berjalan di
negeri-negeri lain, beliau turut meletakkan pengharapan kepada
keempat-empat parti komponen PH di Selangor supaya mengambil keputusan
disepakati sebaik mungkin.
"Hampir semua negeri-negeri di Malaysia sudah hampir semua mencapai
kata sepakat. Kita harap Selangor juga akan ambil langkah-langkah yang
baik dengan kebijaksanaan supaya jangan berlaku keadaan yang menganggu
kedudukan PH Selangor.
"Semua pihak perlu berfikir dan mengambil langkah-langkah yang
bijaksana sepertimana berlaku di negeri lain," jelasnya yang menuntut
isu peringkat negeri itu segera diselesaikan.
Isu rundingan kerusi DUN di Selangor belum selesai meskipun sudah
melepasi tarikh yang ditetapkan. Perkembangan itu memaksa PH di
peringkat Pusat masuk campur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.