Selasa, 2 Januari 2018

Siapa akan menang perang siber PRU14?

DETIK DAILY

 
 
TENTERA siber daripada kedua-dua belah pihak politik kini sedang bersiap-sedia untuk perang Internet yang akan memperhebatkan lagi ketibaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Penulis blog Umno, Budak Sri Kinta memberitahu  parti itu menggunakan ribuan "keyboard warrior (pejuang kekunci)" untuk menyerang pembangkang serta menyebarkan berita-berita yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).

"Kebanyakan kami buat secara sukarela. Ada juga buat sepenuh masa atau separuh masa. Sesiapa saja boleh jadi pejuang kekunci, asalkan tahu bagaimana hendak menggunakan media sosial," katanya.

Dia memutuskan menjadi tentera siber sepenuh masa bagi membantu Umno memenangi perang persepsi di Internet selepas BN hilang majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan lima daripada 13 negeri pada 2008.

Para penganalisis berpendapat penggunaan Internet dan media sosial pembangkang yang strategik menyumbang kepada tsunami politik pada 2008. Pada PRU13, BN juga hilang undi popular.

Seorang ahli MCA yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, parti itu perlu membayar semua pejuang kekunci ini kerana jika tidak, tiada sesiapa akan memantau Internet setiap masa terutamanya ketika pilihan raya untuk menyangkal pembangkang.

"Ada kira-kira 100 orang dalam pasukan itu. Semua artikel yang mereka tulis sangat profesional, dengan maklumat istimewa yang tidak diperolehi orang biasa. Pejuang kekunci tahap pertengahan dan bawahan boleh medapat sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan, ia menguntungkan," katanya.

Tambahnya lagi, akar umbi akan melaporkan kepada pemimpin apabila terjumpa sebarang artikel atau komen yang menjejaskan MCA atau pemimpinnya dan akan membalas melalui dua cara.

"Kalau hujah itu tidak dapat dipatahkan, mereka akan gunakan perbandingan (negatif) seperti pihak mana yang lebih teruk untuk mengalihkan fokus atau menimbulkan isu-isu lain bagi mencetuskan emosi pengguna media sosial.

"JIka ia boleh dipatahkan, mereka akan menggunakan kelemahan pembangkang atau menyerang untuk menang (berdebat)," jelasnya.

Bagaimanapun, MCA katanya tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak seperti Umno, di mana sebuah kawasan menerima sehingga RM1 juta untuk mengupah pejuang kekunci berbanding MCA yang hanya memperuntukkan beberapa ribu ringgit sahaja.

Isi adalah segala-galanya

Bekas pemimpin DAP, Hew Kuan Yau berkata pembangkang tidak perlu bersaing dari segi kewangan dengan BN asalkan mereka boleh menghasilkan isi kandungan dengan elemen CIA: kreatif (C-creative), pintar (I-intelligent) dan hujah yang padu (A-arguments).

"Kreativiti adalah raja. Semua pemimpin DAP kurang sumber dan terpaksa mengeluarkan duit sendiri untuk mempromosikan kandungan mereka di media sosial.

"Setiap ringgit yang dibelanjakan mestilah berbaloi dan strategik. Setiap pelaburan mesti ada pulangan," kata bekas penceramah DAP itu sambil menambah yang selagi kandungan itu kreatif, ia akan segera tular.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata pembangkang mesti terus menggunakan pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp, Weibo dan WeChat untuk menentang pejuang kekunci BN.

"Ubah (pada PRU13) adalah kempen yang sangat berjaya tetapi kami tidak boleh berpuas hati," kata Nga.

Parti itu mempunyai pasukan publisiti yang ditugaskan untuk menghasilkan grafik menarik dan video satira pendek tetapi ia akan lebih menguntungkan pembangkang jika lebih ramai orang menggunakan telefon pintar mereka untuk mencipta kandungan sendiri bagi menyebarkan mesej pembaharuan demokratik.
Imej positif peribadi mengatasi imej negatif parti

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang mengakui BN kekal tidak popular dan pemimpin terpaksa bergantung untuk membangunkan jenama peribadi mereka sendiri.

"Kalau sesebuah parti itu tidak popular, anda tidak akan mendapat perhatian tidak kiralah sama ada ia bagus atau tidak, dan terutamanya jika kaedah promosi dalam talian terlalu konservatif atau membosankan.

"Kempen perlu bersifat lebih peribadi kerana orang mengenali parti melalui anda," katanya.

Gerakan hilang Pulang Pinang kepada pembangkang pada 2008 dan tidak memenangi mana-mana kerusi Persekutuan pada 2013.

Presidennya, Mah Siew Keong berkata sebahagian puncanya disebabkan parti itu gagal menggunakan media sosial serta memanfaatkannya dan menentang berita-berita palsu di Internet.

Menurut Counterpoint Research, lebih separuh penduduk di Malaysia (55%) memperuntukkan waktu lima jam menggunakan telefon pintar mereka setiap hari.

Jason Loo, ahli politik yang dijangka menjadi calon Gerakan di Pulau Tikus, Pulau Pinang berkata beliau perlu aktif di media sosial dan sering menganjurkan sidang akhbar untuk mengetengahkan sebarang masalah di negeri itu untuk memperoleh perhatian terhadap parti.

"Gerakan memberi saya kebebasan untuk bersuara di Facebook dan tiada siapa tahu mengenai saya mula-mula dahulu tetapi sekarang ramai yang tahu pendirian saya terhadap sebarang isu. Ahli politik muda harus menggunakan media sosial untuk lebih mempromosikan diri mereka dan parti," katanya. 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.