Selasa, 2 Januari 2018

Rela bukan tergolong sebagai pengundi pos - SPR

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelar dakwaan tidak berasas oleh pihak tertentu konnonya terdapat empat juta pengundi pos dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan merangkumi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
 
Pengerusinya, Tan Sri Mohd.Hashim Abdullah dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, anggota Rela tidak tertakluk sebagai pengundi pos dan dakwaan berkenaan telah menyalah erti kategori Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PVR).
 
Katanya lagi, SPR telah menetapkan kategori-kategori tertentu termasuk polis dan tentera sebagai pengundi pos namun jumlah sebenar pengundi berkenaan hanya dapat ditentukan selepas semua permohonan dibuka dan diterima.
 
"Perkara 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003, menetapkan bahawa mana-mana warganegara yang sudah mendaftar sebagai pemilih boleh mengundi secara pos, dengan syarat mereka perlu tergolong dalam satu daripada kategori yang ditetapkan oleh SPR.
 
"Sehingga PRU Ke-13, SPR menetapkan beberapa kategori pengundi dalam negara yang boleh memohon untuk menjadi pengundi pos, iaitu anggota tentera dan anggota polis yang tidak dapat hadir semasa hari pengundian awal, selain petugas media dan petugas pilihan raya yang bertugas di luar bahagian pilihan raya mereka berdaftar.
 
"Bagi kategori pemilih di luar negara pula, kakitangan awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangan, pelajar sepenuh masa yang belajar di luar negara dan pasangan, serta rakyat Malaysia yang disenaraikan sebagai Pengundi Tidak Hadir turut diberikan kemudahan pengundian secara pos," katanya dalam kenyataan itu.
 
Justeru tegasnya, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan rakyat. 
 
Mengulas mengenai saranan supaya SPR mengamalkan pengiraan undi awal pada hari yang sama selepas pengundian seperti yang dilakukan oleh negara lain, Hashim berkata, SPR berpandangan ia tidak praktikal kerana akan mempengaruhi pola pengundian pada hari mengundi.
 
"Jika sebahagian keputusan diketahui lebih awal, ia dikhuatiri akan mempengaruhi sentimen sesetengah pihak dan menjejaskan pola pengundian, bahkan selang dua hari sebelum hari mengundi juga dikhuatiri akan menggalakkan berlakunya situasi di luar kawalan, terutama dalam aspek salah laku kempen dan keselamatan awam.
 
"SPR memberi jaminan bahawa setiap undi rahsia dan pemilih bebas untuk menentukan pilihan mereka. SPR juga menyelar dakwaan tidak berasas yang dibuat oleh pihak tertentu tanpa fakta yang sahih dan menganggap ia berniat mengelirukan rakyat pada saat menjelangnya PRU14," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.