Isnin, 29 Januari 2018

Pas sokong ISA kerana menentang komunis – Abdul Hadi

Manzaidi Mohd Amin
Abdul Hadi Awang


KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, perjuangan parti itu bagai lilin yang membakar diri untuk memberi cahaya kepada semua pihak melalui pendekatan dakwah dan politik secara matang serta sejahtera.

Beliau berkata, perjuangan itu adalah untuk menyelamatkan seramai mungkin manusia bersama Islam, walaupun ada tohmahan dari pihak tertentu menuduh Pas seperti monyet yang bergayut mencari-cari pada pokok berbuah lebat.

“Padahal Pas umpama pokok berbuah lebat, bersedia menggugurkan buah yang masak kepada kanak-kanak nakal yang melontarkan batu dan kayu ke arahnya,” katanya secara sindir melalui kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Abdul Hadi, beliau bersyukur kerana generasi awal Pas dapat menyaksikan kesusahan dan pengorbanan parti itu yang berjuang menentang penjajah sehingga pasca kemerdekaan dan selepasnya.

Katanya, Pas menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika itu kerana menentang komunis yang masih bermaharaja lela dan mengancam keselamatan negara.

Begitu juga katanya, Pas menyertai kerajaan campuran dan penubuhan Barisan Nasional (BN) selepas Peristiwa 13 Mei 1969 kerana hendak mengukuhkan kedudukan umat Islam.

“Tetapi selepasnya, Pas pula menjadi mangsa ISA dan dirampas kerajaannya di Kelantan, Peristiwa Memali yang mengorbankan pengikut setianya, dicekik Kelantan selepas kemenangan 1990 supaya tidak bernafas, dirampas royalti Terengganu apabila kita berjaya memerintah semula 1999 dan dinafikan juga hak Kelantan.

“Namun, Pas berjaya menyelamatkan umat Islam yang jahil akidahnya sehingga dicetuskan isu kafir mengkafir oleh gejala menghina hukum Islam disebabkan kejahilan umat dan kelemahan para ulama serta kerakusan pemimpin negara menghina Islam.

“Kita mengambil pendekatan dakwah, bukannya menghukum yang menjadi lapangan para mufti dan kadi yang sangat malang dipenjarakan oleh undang-undang warisan penjajah yang belum dirungkai,” ujar beliau.

Jelas Abdul Hadi, Pas mengambil pendekatan menyatakan batas iman dan kufur sehingga berjaya menyedarkan umat serta melenyapkan suara menghina Islam di kalangan umatnya sendiri.

“Kini hanya tinggal suara yang terpencil laksana harimau tua tidak bergigi yang melepak di hutan rimba dan kalangan bukan Islam yang memberanikan diri tanpa menghormati Perlembagaan Persekutuan serta sensitiviti umat Islam yang telah bangkit semula bersama arus kesedarannya.

“Pas terus memilih demokrasi yang sinonim dengan ajaran Islam, bukan demokrasi menipu rakyat yang masih jahil dan bodoh politiknya,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.