Rabu, 31 Januari 2018

PAS Kelantan: Najib tak faham konsep federalisme

DETIK DAILY


Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kelantan sempena lawatan seharinya ke negeri itu pada 28 Januari lalu adalah satu catatan sejarah yang memalukan, kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurut beliau, Najib antara lain menyebut bahawa Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya jika tanpa bantuan kerajaan pusat menunjukkan bagaimana beliau gagal memahami konsep federalisme yang telah termaktub dalam perlembagaan.

"Najib bagaikan mengulangi cerita 'tujuh janji' yang dilontarkan beliau juga di Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.


"Perlu difahami bahawa kerajaan negeri dan pusat mempunyai bidang kuasa masing-masing mengikut jadualnya yang tersendiri.

“Kerajaan pusat mempunyai bidang kuasa memerintah melalui Dewan Rakyat, manakala kerajaan negeri pula melalui dewan undangan negeri," katanya dalam kenyataan terbuka, hari ini.

Terdahulu media tempatan melaporkan, Najib pada ucapannya di Kota Bharu, Ahad lalu berkata, tanpa suntikan kerajaan pusat, negeri defisit seperti Kelantan pun akan sukar membayar gaji kakitangan awamnya.

Menurut beliau, Kelantan yang ditadbir oleh PAS adalah sebuah negeri defisit rendah.
“Negeri defisit macam Kelantan ini pun, kalau tidak ada suntikan daripada kerajaan pusat nak bayar gaji pun tak mampu, tak boleh nak bayar gaji,” kata Najib dipetik sebagai berkata.

Ahmad Fadhli berkata, antara kuasa-kuasa yang ada pada kerajaan pusat adalah kewarganegaraan persekutuan, hubungan luar, pertahanan, keselamatan dalam negeri, kewangan, pendidikan, perdagangan dan industri.

Menurutnya, kuasa kerajaan negeri pula merangkumi undang-undang Islam, tanah, pertanian dan perhutanan, kerajaan tempatan, perkhidmatan tempatan dan jentera kerajaan negeri.

"Ini merupakan asas dalam konsep federalisme. Mengungkit-ungkit kerajaan Kelantan mampu membayar gaji hanya kerana mendapat bantuan kerajaan pusat adalah satu perbuatan kebudak-budakkan.

“Banyak mana pula hasil mahsul yang diangkut dari bumi Kelantan untuk membiayai Putrajaya?
"Adakah boleh disebut bahawa tanpa minyak Kelantan, perdana menteri tidak akan mampu mengelilingi dunia bersama isterinya?" soal beliau.

Tambah naib ketua Pemuda PAS pusat itu, Terengganu negeri yang paling hampir dengan Kelantan pun menerima sekitar RM1.5 billion terimaan dari kerajaan pusat hasil royalti dan sebagainya seperti yang termaktub di dalam Bajet 2018 negeri tersebut.

"Barangkali tanpa bantuan pusat, bukan setakat gaji kakitangan, bahkan butir beras pun tidak mampu untuk dibeli.

"Realitinya, ia tidak boleh disebut sebagai bantuan. Ia adalah kewajipan anda sebagai kerajaan pusat. Adakah ia tanda bahawa parti Datuk Seri sudah jemu untuk mentadbir kerajaan pusat?

"Kita kesal dengan kegagalan perdana menteri memahami konsep ini. Harapnya ia hanyalah penyedap telinga kepada jentera Umno Kelantan untuk meningkatkan usaha berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 bersama rakan baru di Kelantan seperti dinyatakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah beberapa hari lepas," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.