KOTA BHARU: Zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana
Menteri adalah lebih baik berbanding era Tun Dr Mahathir Mohamad, ujar
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Perkara itu diakui kerajaan PAS Kelantan berdasarkan hubungan di antara
kerajaan negeri dan Pusat juga semakin baik walaupun ada perkara belum
ditunaikan.
"Memang berbeza kalau mahu dibandingkan zaman Tun Mahathir dengan Tun
Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Zaman Tun Abdullah dan Najib menjadikan
hubungan Kelantan dengan Pusat lebih baik.
"Namun, banyak perkara lagi yang Kerajaan Pusat belum laksanakan seperti tuntutan royalti dan kita berharap ia dipertimbangkan.
"Walaupun masih agak terpinggir berbanding negeri diterajui Barisan
Nasional (BN), sekurang-kurangnya terdapat perbezaan dari segi
hubungan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah
Tanah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa
1, berkata beliau sentiasa mengutamakan rakyat Kelantan.
Ia, katanya, termasuk melaksanakan pembangunan projek yang dapat
melenyapkan 'mimpi ngeri' rakyat negeri ini yang sering dilanda banjir
termasuk banjir besar pada 2014.
"Saya tidak mahu ada yang ketinggalan. Ini berdasarkan prinsip Islam
yang mahu kita jadi pemimpin adil kepada semua. Sebab itulah saya
berbeza dengan pemimpin terdahulu yang memerintah 22 tahun, tapi
meminggirkan Kelantan atas perbezaan politik," kata Najib
Mohd Amar turut mengakui Kelantan bergantung kepada bantuan Kerajaan Pusat, sama seperti negeri lain.
"Pulau Pinang dan Selangor pun bergantung kepada Kerajaan Pusat, malah Selangor sendiri ada hutang dengan Kerajaan Pusat.
"Sekiranya Kerajaan Pusat tidak bantu dari segi agensi, negeri tidak
boleh berjalan. Apa yang pasti, tiada negeri mampu hidup tanpa bantuan
pusat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.