Hakim Mahkamah Tinggi, Hue Siew Kheng berkata,
tuntutan ke-2 difailkan Santamil Selvi terhadap Najib dan defendan lain
'tidak dapat diterima'.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan 6 yang lain untuk membatalkan saman difailkan balu penyiasat bebas, P Balasubramaniam yang lebih dikenali sebagai PI Bala.
Peguam Najib, Nor Hazira Abu Haiyan berkata, Hakim Datuk Hue Siew Kheng memutuskan saman dikemukakan A Santamil Selvi tidak dapat diterima.
“Isu ini perlu diputuskan dalam perbicaraan penuh.”
Terdahulu, peguam Najib, Rosmah dan 6 yang lain berhujah saman Santamil patut dibatalkan kerana beliau kehabisan masa untuk berbuat demikian.
Difahamkan, Hue juga memerintah prinsip “res judicata” atau keputusan mahkamah lebih tinggi terikat kepada mahkamah rendah, tidak terpakai untuk pembatalan ini.
“Samannya sebelum ini tidak pernah didengar, dan kuasa tindakan daripada saman ini berbeza daripada terdahulu.”
Mahkamah menetapkan pengurusan satu lagi kes pada 16 Mac ini.
Santamil sebelum ini memfailkan saman konspirasi terhadap Najib, Rosmah, adik Najib – Mohd Nazim dan Johari, peguam Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya, Datuk Sunil Abraham, Arulampalam Mariampillai, pesuruhjaya sumpah Zainal Abidin Muhayat dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
Beliau mendakwa ada bukti untuk membabitkan semua 9 defendan itu yang didakwa melakukan kesalahan terhadap mereka.
Bagaimanapun, saman mahkamahnya dibatalkan Mahkamah Rayuan pada 2015.
Tahun lalu, Santamil dan 2 anaknya memfailkan satu lagi saman terhadap individu sama yang dinamakannya dalam samannya sebelum ini, dengan mendakwa mereka mengalami mengalami kesengsaraan disengajakan kerana terpaksa hidup dalam buangan di India.
Beliau berkata, 9 defendan itu merampas kehidupan normal daripada keluarganya dan menyebabkan mereka mengalami kerugian kewangan dan bukan kewangan.
Mereka mendakwa mengalami trauma dan penderitaan mental disebabkan 9 defendan itu serta kehilangan tempat berteduh di persekitaran yang biasa.
Mereka menuntut ganti rugi dengan faedah atas penderitaan yang dialami dari Julai 2008 kerana kehilangan rumah selama 5 tahun.
Bagaimanapun, kes ke atas Deepak tidak didengar hari ini kerana ahli perniagaan itu memfailkan tuntutan berasingan untuk membatalkan saman Santamil.
PI Bala sebelum ini terlibat dalam kontroversi 2 akuan berkanun (SD) bercanggah dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Dalam saman ini, keluarga tersebut berkata defendan menyebabkan SD ke-2 Balasubramaniam dirangka tanpa arahannya dan menyebabkan beliau menandatanganinya di bawah situasi terancam dan paksaan.
Beliau terpaksa meninggalkan Malaysia untuk ke India tergesa-gesa selepas menandatangani SD ke-2 pada Julai 2008, sehari selepas SD pertama dikeluarkan.
Pada 3 Julai 2008, Balasubramaniam menerusi sidang akhbar yang diadakan PKR berkata, kandungan SD pertama membabitkan Najib dan beberapa individu lain dalam pembunuhan Altantuya adalah benar.
Pada Jun 2014, Santamil dan 3 anaknya memfailkan saman konspirasi selepas penemuan bukti baharu untuk membabitkan semua 9 defendan yang didakwa melakukan kesalahan ke atas mereka.
PI Bala yang merupakan saksi utama dalam perbicaraan Altantuya, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu setelah pulang dari India.
Beliau pernah bekerja untuk penganalisis politik dan rakan kongsi Najib, Abdul Razak Baginda yang mengupahnya untuk memantau Altantuya sebelum kehilangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.