Isnin, 29 Januari 2018

Ketua polis beri jaminan akan cari anak, bekas suami Indira

Ketua polis beri jaminan akan cari anak, bekas suami Indira
Ketua Polis Negara Fuzi Harun berkata anggotanya akan menjejak anak-anak M. Indira Gandhi dan memburu bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal
 
POLIS akan mematuhi keputusan Mahkamah Persekutuan dan akan mencari anak-anak gadis M. Indira Gandhi selain akan memburu bekas suami wanitanya, Muhammad Riduan Abdullah.

Ketua Polis Negara Fuzi Harun berkata, pasukannya akan mematuhi keputusan Mahkamah Persekutuan dan akan berusaha mengembalikan kanak-kanak itu kepada Indira.

"Kami akan mematuhi perintah mahkamah. Kami sudah beritahu peguam mengenai status kes ini.

“Kami belum kenalpasti kedudukan anak perempuan dan bekas suami (Indira) pada masa ini tetapi kami sedang siasat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa penukaran agama tiga orang kanak-kanak itu batal dan tidak sah.

Panel lima orang hakim Mahkamah Persekutuan pagi ini turut memutuskan bahawa penukaran agama kanak-kanak memerlukan kebenaran kedua-dua ibu bapa.

Kenyataan Fuzi itu sebagai respon kepada kenyataan Indira pagi tadi yang berkata polis perlu mencari anak bongsunya, Prasana Diksa, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan penukaran agama tiga anaknya.

“Ketua polis negara tidak ada alasan lagi. Ada keputusan mahkamah sekarang. Jadi dia tidak boleh kata dia tidak boleh buat apa-apa. Dia kena bertindak sekarang,” katanya di luar mahkamah hari ini.

Pada 2009, Riduan menukar agama anak perempuan mereka, Prasana Diksa, kini berusia 9 tahun, ketika kanak-kanak itu berusia 11 bulan.

Prasana Diksa tinggal bersama bapanya sejak Mac 2009 apabila Riduan melarikannya dan meninggalkan Indira.

Kes itu menjadi semakin rumit apabila Mahkamah Syariah memberi hak jagaan tiga anak itu kepada Riduan, dan Mahkamah Tinggi sivil memberikan hak jagaan mereka kepada Indira Gandhi.

Polis juga tidak bertindak atas arahan Mahkamah Tingi Ipoh pada 2014 agar Riduan memulangkan Prasana kepada Indira.

Pada September tahun sama, peguam negara memfailkan rayuan di Makamah Tinggi Ipoh ke atas arahan mandamus kepada polis untuk mencari Riduan.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan memerintahkan ketua polis engara untuk menahan Riduan atas kesalahan menghina mahkamah.

Ketua polis pada waktu itu, Khalid Abu Bakar berkata polis akan mematuhi arahan tersebut. Khalid ini sudah bersara dan Riduan masih belum dapat dikesan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.