SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) terpaksa menamakan Tun Dr Mahathir
Mohamad sebagai calon perdana menteri disebabkan 'bintang harapan
cedera', akui Datuk Saifuddin Abdullah.
Ketua Sekretariat PH itu berkata, gagasan empat parti politik itu sudah
'berlatih' bertahun-tahun untuk masuk ke gelanggang pilihan raya, namun
tiba masanya calon utama mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'tidak dapat
diturunkan akibat kecederaan'.
Anwar kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh selepas disabit
kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
"Kita ibarat pasukan bola sepak yang berlatih bertahun-tahun namun
apabila hendak masuk permainan, bintang harapan kita cedera atau kita
terpaksa bermain dalam keadaan padang tidak elok atau cuaca hujan
lebat," ujar Saifuddin di hadapan kira-kira 300 orang yang hadir ceramah
umum pembangkang di Kuantan malam tadi.
Ceramah itu yang turut dihadiri beberapa pemimpin pembangkang antaranya
Teresa Kok dan Fuziah Salleh jelas gagal menarik minat penduduk Kuantan
untuk memenuhi kerusi yang disediakan di depan pentas dengan rata-rata
yang datang pula memilih untuk ‘mendengar dari jauh’.
PH pada 7 Januari lepas mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana
menteri pembangkang jika gagasan itu menang Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Pengumuman itu bukan sahaja dibantah kebanyakan penyokong PH malah ada
parti serta pemimpin tertentu menolak pencalonan itu dan mempersoalkan
adakah tiada calon lain yang lebih layak berbanding tokoh politik
berusia 93 tahun itu.
Saifuddin dalam pada itu berkata beliau sendiri mahukan Anwar menjadi
calon perdana menteri pembangkang, namun sedar ia adalah sesuatu yang
sukar.
"Ramai yang mahu (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) termasuk saya. Kalau
boleh lakukan silap mata Anwar bebas esok dan terus mendapat pengampunan
diraja lalu boleh bertanding pilihan raya, sudah tentu kita akan
mencalonkan dia," katanya.
Anwar yang juga Ketua Umum pakatan itu dijangka dibebaskan daripada
penjara pada 8 Jun depan namun peruntukan undang-undang menghalang
beliau daripada bertanding pada pilihan raya selama lima tahun selepas
dibebaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.