MELAKA: Bekas Setiausaha Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian
Melaka (MISDC), Zamrud Mansor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen
di sini hari ini atas 42 pertuduhan pecah amanah melibatkan RM4.58 juta
antara tahun 2014 dan 2015.
Zamrud, 76, menghadapi lima pertuduhan melakukan pecah amanah ke atas
peruntukan MISDC ketika memegang jawatan setiausaha pusat itu dengan
memasukkan peruntukan berjumlah RM4.3 juta ke dalam akaun milik syarikat
MISDEC Resources Sdn Bhd.
Tertuduh juga menghadapi 37 pertuduhan pecah amanah ke atas peruntukan
pusat itu dengan membuat pembayaran RM286,136.68 untuk pelbagai sebab
antaranya yuran penubuhan syarikat MISDEC Resources Sdn Bhd, deposit
sewa rumah kedai, perlindungan insurans, ubah suai restoran, pembelian
perkakasan dapur restoran, pemasangan pendingin hawa dan pendawaian
elektrik.
Sementara itu anak tertuduh, Hazizul Zamrud, 44, yang bertugas sebagai
Pengarah Unit Pentadbiran MISDC turut mengaku tidak bersalah di mahkamah
sama atas 42 pertuduhan bersubahat atas jenayah yang sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pejabat
MISDC, Lorong 1, Jalan PBB 6, Taman Perindustrian Batu Berendam di sini
antara 19 Mac 2014 hingga 2 Jun 2015.
Mereka didakwa mengikut seksyen 409 kanun keseksaan yang memperuntukkan
hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat serta denda jika sabit
kesalahan.
Hakim Norma Ismail membenarkan ikat jamin RM250,000 bagi setiap
tertuduh serta mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
2 Februari depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.