Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Pimpinan PKR Selangor menjarakkan diri daripada mengulas
kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad bahawa 'silap PKR
Selangor' tidak menamakan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
sebagai calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (PH) jika menang
pilihan raya kelak.
Khalid dilaporkan berkata demikian mengulas isu PKR Selangor yang tidak
berpuas hati apabila Azmin tidak dicalonkan ke jawatan itu, sebaliknya
Majlis Presiden PH menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad.
ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi menganggap isu berkenaan sudah selesai
dan fokus utama kini adalah memastikan PH memenangi Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) nanti.
"Benda ini sudah selesai, tak payah panjang-panjang. Sekarang PH kena
'move-on'. Tiada apa lagi kita nak ulas, kita 'move-on' untuk pastikan
PH menang.
"Soal tentang calon perdana menteri atau apa sahaja, itu kemudian," ujarnya ringkas ketika dihubungi Antarapos.
Seorang lagi ADUN Selangor (Batu Caves), Amirudin Shari berkata soal
calon perdana menteri sudah terlalu kerap disebut pimpinan PH dan
ditonton rakyat jelata.
Justeru beliau beranggapan, sudah tiba masanya isu itu dibincangkan
secara dalaman oleh pucuk pimpinan tertinggi gagasan empat parti
komponen itu.
"Saya rasa perkara ini sudah banyak sangat dikeluarkan kepada umum, jadi biarlah ia diselesaikan oleh pucuk pimpinan parti.
"Benda ini sudah dibangkitkan banyak kali dalam pucuk pimpinan, jadi biar mereka sahaja yang selesaikannya," katanya.
PH konvensyen kali keduanya di IDCC, Shah Alam pada 7 Januari lalu
mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon sementara perdana menteri
pembangkang sambil menunggu Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim
bebas daripada penjara.
Pengumuman itu menyaksikan beberapa pemimpin PKR Selangor menolak
keputusan itu diantaranya Timbalan Pengerusi PKR negeri, Zuraida
Kamaruddin.
Zuraida secara terbuka menyatakan bantahan terhadap amalan kitar semula
oleh pemimpin PH, malah turut mencadangkan mantan perdana menteri itu
dilantik sebagai menteri kanan sahaja.
Turut mahu Azmin dicalonkan untuk jawatan itu adalah Daroyah sendiri.
Ketua Komunikasi PKR Selangor, Hizwan Ahmad pula mahukan jawatan
tersebut disandang oleh pemimpin segar dalam PH dan bukannya Dr Mahathir
yang sudah menjangkau usia lebih 90 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.