Oleh Athirah Hanapiah, Shuhaniza Said & Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
KUALA LUMPUR: Umno Kelantan hari ini bertekad dan yakin untuk merampas
negeri itu daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menyuarakan
kesungguhannya itu ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Dewan
Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi.
Katanya, indikator itu berdasarkan peningkatan sebanyak 33% bagi jumlah
kerusi parlimen dan 100% pada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Barisan Nasional (BN) dari PRU12 ke PRU13.
Ujar beliau, ini sekaligus membuktikan bahawa negeri itu mampu untuk ditakluki BN pada PRU kali ini.
"Selepas daripada tahun 2008 (PRU12), negeri Kelantan mempunyai dua
kerusi parlimen dan enam kerusi DUN, tetapi hasil daripada sikap yang
telah ditunjukkan oleh presiden membalas kepercayaan dan budi baiknya.
"Maka hasilnya pada PRU13, negeri Kelantan telah menyumbang kepada
kenaikan 9 kerusi Dewan Rakyat daripada Umno dengan menambah tiga kerusi
menjadikan kenaikan 33%, di DUN daripada enam, menjadi 12 kerusi,
kenaikan 100%.
"Dan kalau inilah sikap positif yang telah ditunjukkan oleh rakyat dan
pengundi di negeri Kelantan, kita yakin dan percaya terlalu tidak
mustahil pada PRU14, Kelantan akan jadi milik BN." katanya.
Untuk rekod, PAS telah mentadbir Kelantan sejak 27 tahun yang lalu dan masih belum berjaya dirampas BN sehingga kini.
Tambahnya, Umno di negeri yang diterajui PAS itu pada ketika ini tidak
akan berhenti daripada berjuang untuk menjadikan Kelantan milik BN.
Katanya, Umno Kelantan akan terus bersama-sama memberikan keyakinan dan
sokongan padu terhadap Umno-BN khususnya kepada presiden, Datuk Seri
Najib Tun Razak walau apa jua yang berlaku.
"Umno Kelantan berikrar bahawa perjuangan kami tidak akan menemui
titik nokhtah. Biar berputih tulang, tidak sekali kami berputih mata.
Patah sayap paruh kami tongkatkan, namun perjuangan hidup mati kami kali
ini adalah untuk mengembalikan maruah Umno dan BN di Kelantan," ujarnya
dengan disambut sorakan di segenap dewan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.