GEORGETOWN: Polis tidak menolak kemungkinan memanggil bekas Pengerusi
FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bagi membantu siasatan berhubung isu
pertukaran hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak, di Kuala Lumpur.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Nor Rashid Ibrahim, berkata satu
pasukan khas sudah diwujudkan bagi menjalankan siasatan berhubung kes
berkenaan.
Katanya, pasukan itu kini dalam proses mengumpulkan bukti sebelum
beberapa saksi dipanggil bagi memberi keterangan dalam tempoh terdekat.
"Kita akan menunggu arahan selanjutnya sama ada akan memanggil beliau (Mohd Isa) untuk diambil keterangan atau sebaliknya.
"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 421 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu dan pemalsuan dokumen," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program
Kayuhan Basikal Solidariti PDRM 2017 di Jambatan Sultan Abdul Halim
Mu'adzam Shah, di sini, awal pagi tadi.
Yang turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Chee Lye.
BH kelmarin melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah
strategik di Jalan Semarak, di ibu kota, yang dianggarkan bernilai lebih
RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi
diragui sejak 2015.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment
Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai
pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full
power of attorney) bagi membangunkannya.
Mohd Isa adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017;
Pengerusi FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011
hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013
hingga 2017.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.