Harapan 18 peserta projek tanaman semula getah di Kampung Banggol Dedah, Sik untuk mengecap keuntungan dan hasil yang berganda sepertimana yang dijanjikan oleh Risda tidak kesampaian setelah tanah kebun getah yang mereka serahkan untuk dijadikan projek tanaman semula pokok getah sejak 15 tahun yang lalu telah menjadi hutan belantara.
Tinjauan yang dibuat bersama dengan waris dan keluarga pemilik kebun getah tersebut baru-baru ini mendapati kebun getah seluas 18 hektar tersebut tidak lagi diusahakan menyebabkan keluarga dan peserta terbabit menuntut supaya kebun getah milik mereka dikembalikan kepada mereka.
Menurut Asri Ahmad, sehingga kini mereka telah pun mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan pihak pengurusan Risda, namun begitu janji untuk mengusahakan tanaman semula getah tidak menjadi kenyataan sehingga ke hari ini.
“Sekiranya pihak Risda tidak mampu untuk mengusahakan tanah kebun kami yang telah diserahkan kepada mereka, sepatutnya ia dikembalikan semula supaya kami dapat usahakannya.
“Kini kami mengalami kerugian apabila tanah yang dimiliki untuk tanaman semula getah tersebut tidak mendatangkan apa-apa pulangan, sedangkan ramai antara kami adalah penduduk kampung yang miskin.
“Kerana percayakan mereka sebagai agensi kerajaan, maka kami serahkan tanah-tanah kebun tersebut sejak tahun 2002 lagi, ” jelasnya ketika ditemui.
Manakala Mohd Rozi Aziz turut kecewa apabila mereka terpaksa menanggung kerugian dalam tempoh yang begitu lama.
“Sekiranya Risda tidak mampu untuk melaksanakan tanah-tanah kebun tersebut, mereka boleh serahkan kembali kepada kami.
“Kini kami tidak mendapat apa-apa pampasan atas apa-apa kerugian, sedangkan tanah tersebut berada dalam pegangan mereka, tapi miliiknya adalah milik kami.
“Dengan harga getah yang tidak stabil dan kos sara hidup yang tinggi, kami amat mengharapkan ada pulangan, tapi hingga kini kami tidak mendapat sebarang hasil,” ujarnya lagi.
Sementara itu Zakaria Ismail pula berkata, tanah milik abangnya telah diserahkan untuk diusahakan oleh Risda setelah dijanjikan akan mendapat pulangan selepas tempoh tujuh tahun.
“Apa yang kami mahu adalah tanah kami dipulangkan sekiranya tidak dapat disahakan.
“Sebagai orang kampung, kami amat berharap tanah ini dapat memberi pulangan, tapi kini tidak ada hasil langsung.
“Kalau boleh kami merayu supaya nasib kami dibela dan diberi perhatian, memandangkan kos sara hidup semakin tinggi, harga ikan melambung, apa lagi untuk membeli minyak petrol untuk motosikal pun semakin mahal,” rayunya sayu.
Rata-rata mereka yang ditemui amat berharap agensi kerajaan tersebut dapat mengambil tindakan segera sama ada memberi pampasan atas kerugian yang mereka tanggung selama lima tahun atau pun mengembalikan semula tanah milik mereka untuk diusahakan sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.