Selasa, 5 Disember 2017

Pemuda DAP diseru beri tumpuan kepada isu ekonomi menjelang PRU14


 Roketkini.com

Sosialis Muda DAP (DAPSY) yang baru semalam bersidang di ibu negara, diingatkan supaya memberikan tumpuan kepada isu-isu ekonomi, terutamanya kezaliman cukai barang dan perkhidmatan (GST) menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

Isu ekonomi adalah isu utama yang bakal menyatukan rakyat Malaysia dalam rangka menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam PRU ke-14 akan datang.

Berucap di persidangan terbabit, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi ingatan bahawa gabungan Pakatan Harapan hadir dengan Dasar Ekonomi Insani yang mengutamakan aktiviti mengembangkan kesejahteraan insan, dengan berpaksikan kepada solidariti semua lapisan masyarakat.

“Kita akan menghadapi PRU yang paling kotor.

“DAPSY perlu memahami aspirasi golongan muda, di samping menjelaskan kepada mereka isu-isu sebenar agar DAP dan HARAPAN menjadi wadah untuk mereka menyuarakan pendapat, keluh kesah dan kegembiraan mereka,” ujar beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurut beliau, HARAPAN kali ini menawarkan penyelesaian kepada permasalahan anak muda yang mencakupi masalah-masalah berkait perumahan, kenaikan kos sara hidup, cukai GST, pengangguran dan kualiti hidup yang merosot.

“Golongan muda kini bergelut dengan ekonomi yang mencabar. Keluar dari universiti sudah ditekan beban hutang PTPTN.

“Jika bernasib baik sedikit, dapat kerja, masuk ke alam pekerjaan dengan gaji yang rendah pula,” tambahnya, kesal.

“Jangan terlalu tumpukan kepada anak muda Lembah Klang sahaja. Ada jutaan anak muda di kawasan luar bandar, kampung-kampung dan di pedalaman Sabah dan Sarawak. Mereka memerlukan idea dan usaha DAPSY,” tegasnya lagi.

Sayap pemuda DAP itu hanya muncul tujuh tahun setelah parti ditubuhkan pada tahun 1966. Ini kerana Jawatankuasa Kerja Pusat DAP yang pertama adalah terdiri daripada orang muda.

Ketua Parlimen DAP, ketika mendirikan parti pada ketika itu, baru berusia 25 tahun. – Roketkini.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.