Roketkini.com
Meski lawatan tiga hari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak ke Sri Lanka penting dalam hubungan diplomasi kedua-dua negara, beliau gagal menyuarakan isu perlanggaran hak asasi manusia ke atas etnik Tamil di negara itu.
Menurut Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Dr P. Ramasamy, kunjungan Najib itu bagaimana pun membelakangkan beberapa perkara penting melibatkan krisis hak asasi manusia akibat perang saudara yang tercetus sekitar tahun 1987 hingga 1990.
“Walaupun kunjungan rasmi itu menyaksikan beberapa perjanjian ditandatangani, terdapat beberapa perkara yang tidak kurang pentingnya kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Ramasamy berkata, walaupun Najib dilihat cuba menarik sokongan kaum India negara ini menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau dilihat ‘mempertahankan’ tindak-tanduk pelanggaran hak asasi manusia yang diamalkan di negara itu.
Dalam ucapannya, Najib diilaporkan berkata Malaysia tidak bersetuju dengan tafsiran barat terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Sri Lanka.
“Rakyat Malaysia khususnya etnik Tamil negara ini sebenarnya berharap agar Najib dapat membangkitkan isu pelanggaran hak asasi manusia yang serius di negara itu dalam perang saudara yang berlaku sebelum ini.
“Sudah tentu, kehadiran Presiden MIC Dr S Subramaniam dan Duta Khas Malaysia ke Selatan Asia, Datuk Seri Samy Vellu memberi gambaran Najib akan menarik perhatian Presiden Sri Lanka terhadap isu tersebut dengan lebih serius,” kata Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Beliau berkata, semasa perang saudara Sri Lanka tercetus, ratusan dan ribuan rakyat etnik Tamil negara itu cedera dan terbunuh. Ribuan pula dilaporkan hilang dan tidak diketahui sehingga kini.
Ini termasuk laporan salah laku seks dan jenayah rogol terhadap wanita Tamil yang tidak dipedulikan agensi negara itu.
Lebih mendukacitakan, hak milik tanah etnik Tamil yang diduduki pasukan tentera negara itu sewaktu krisis tercetus tidak dikembalikan kepada pemiliknya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.