Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: PAS mempertahankan tindakan berdiam diri mufti dalam isu
kafir-mengkafir sekitar tahun 1980-an dahulu kerana disebabkan oleh
campur tangan politik dalam urusan pentadbiran negara.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian menjawab
kritikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr
Mahathir Mohamad terhadap golongan mufti yang gagal menegur PAS dalam
isu mengkafirkan sesiapa yang tidak menyertai parti itu.
"Sepatutnya dalam sistem pemerintahan demokrasi, sistem pemisahan kuasa
antara legislatif, eksekutif dan kehakiman.. apa yang berlaku adalah
campur tangan politik terhadap pengurusan pentadbiran.
"Menyebabkan hakim dipecat, ketua polis negara bertindak dengan cara
yang tidak tepat, mufti pun hendak dipaksa. Daripada mereka bercakap
lebih baik mereka diam di masa itu, lebih selamat. Itu suasana ketika
itu, itu dari segi pemerintahan negara yang perlu kita jelaskan,"
katanya di sidang media selepas merasmikan Kempen Penambahan Ahli PAS
'Pilihanku 2.0', di ibu pejabatnya, hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir pada semalam mempersoal mengapa tiada golongan
mufti tidak memperbetulkan kenyataan PAS, yang didakwa mengkafirkan
sesiapa yang tidak menyertai parti berkenaan.
Berucap di pentas perhimpunan agung PPBM, Dr Mahathir berkata: "Mereka
berdiam seribu bahasa, seolah-olah mereka setuju dengan pendapat parti
PAS. Kalau mereka setuju dengan PAS, mereka tak masuk PAS maka mereka
juga kafir."
Bekas perdana menteri itu merujuk kepada Amanat Hadi yang mencetuskan
peristiwa Memali pada 19 November 1985, yang menyebabkan
pengikut-pengikut Ibrahim Libya merancang kononnya menggunakan
pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan.
"Dr Mahathir pakar perubatan, bukan ahli hukum syarak. Oleh kerana
perkara itu berkait dengan hukum syarak dan agama, dia tak boleh memaksa
orang yang ahli dalam ilmu syariat untuk ikut beri fatwa mengikut
kemahuannya. Saya rasa langkah mufti mengambil sikap yang begitu di
zaman itu, zaman yang tidak ada pemisahan kuasa," selar Hadi.
Peristiwa Memali tercetus pada 19 November 1985 iaitu pada era
pemerintahan Dr Mahathir, ekoran tindakan pihak keselamatan mahu menahan
seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim
Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.
Pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung akhirnya
mengorbankan 18 orang termasuk guru agama itu beserta empat anggota
polis, dengan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan
beratus-ratus orang.
PAS sebelum ini mengkritik Dr Mahathir kerana menyebabkan perpecahan
orang Melayu serta meminggirkan isu-isu kepentingan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.