Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Kenyataan
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul bahawa cadangan menobatkan Presiden
PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri
terletak pada dua faktor, amat meragukan.
Pertama,
katanya, cadangan itu tertakluk pada restu Ketua Umum Pakatan Harapan
(PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan prasyarat kedua ialah jika Pakatan
Harapan (PH) perlu menang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dahulu.
Begitu juga dengan ura-ura PH mahu mengangkat Pengerusinya, Tun Dr
Mahathir Mohamad, sebagai Perdana Menteri, juga tertakluk pada Anwar
Ibrahim dan keadaan “rakyat yang terdesak kerana tiada calon lain”.
Sekaligus ia memberi gambaran bahawa dalam PH, Anwar berkuasa penuh
walhal umum tahu itu adalah formaliti semata-mata. Anwar sengaja
‘diangkat-angkat’ demikian bagi ‘merabuni mata’ pemimpin PKR yang sudah
tiada tempat berteduh.
PKR bercelaru. Kelelahan politik intensif sejak hampir dua puluh tahun
lalu kini menunjukkan padahnya dan keretakan pimpinan nyata di antara
presiden dan timbalannya, dan, timbalannya dengan panglima lain yang
‘dididik’ Anwar.
Keadaan
ini mendesak ramai pemimpin memilih jalan selamat dan berusaha
menggabungkan kekuatan dengan kerabat PH lain yang nampaknya selesa
menyerahkan kerja merancang bagi PH di tangan Mahathir.
Mereka tahu Mahathir bukanlah orang “organisasi”. Sejak memimpin Umno
lagi kerja pentadbiran diserahkan pada pegawai sahaja. Dalam PPBM soal
pentadbiran diserahkan kepada presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan
konco-konconya.
Malangnya Muhyiddin juga bukanlah pengurus yang cekap dan beliau juga
menyerahkannya pada para pentadbir sahaja. Khasiatnya ialah, pentadbir
kurang cekap lebih mudah mendengar kata. Sebab itu PPBM bercelaru.
Baik Mat Sabu mahupun Salehuddin Ayub, hanya mahu mendambakan Mahathir
membuat keputusan strategik untuk PH. Begitu juga Lim Kit Siang dan Lim
Guan Eng. Semua lebih senang bersandar pada nama dan pengalaman
Mahathir.
Jadi
bila nama Presiden PKR dilambung-lambung untuk jadi Timbalan Perdana
Menteri, PKR yang sudah lelah itu mudah bersyukur dan tidak protes.
Mereka boleh bersetuju dengan cadangan itu jika ‘Anwar bersetuju’.
Cara itu agak dayus mempertahankan Ketua Umum yang dalam dua PRU lalu
menunjukkan kemampuannya menggerakkan penentangan terhadap Umno-BN
dengan jayanya. Kini semua bergantung pada Mahathir.
Mujur Anwar tidak/belum berkata ya. Jika beliau juga bergantung pada
Mahathir, bererti PKR tiada tempat istimewa dalam PH lagi. Jika Anwar
menyokong bererti taraf dan nilai PKR sama seperti parti Amanah sahaja.
Walhal Anwar tinggal enam bulan sahaja lagi sebelum boleh melangkah
pintu kemerdekaan. Jika beliau membuat komitmen sekarang, bererti payah
untuknya merebut kembali kerusi Perdana Menteri daripada Mahathir.
Kini Mahathir perlu menunjukkan sikap ‘amanah’ dan tidak gopohnya.
Dibiarkan PH menunggu jawapan daripada Anwar. Beliau perlu membeli masa.
Namun
peguam (yang entah bila Anwar lantik) dari Amerika Syarikat, Kimberley
Motley, cuba mendahului dengan mengatakan Anwar mesti dibebaskan kerana
faktor umur dan hakikat beliau ialah pesalah politik bukan jenayah.
Secara teknikal Anwar bukan pesalah politik. Hakikatnya Anwar pesalah
jenayah (liwat). Mahathir sendiri yang mengesahkannya. Beliau sanggup
menghadapi media bersama Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan menjadi
mangsa Anwar.
Beliau
juga memberitahu seluruh rakyat Malaysia dan dunia bahawa Anwar adalah
pelaku seks di luar tabiie. Sebab itu, tegas Mahathir, Anwar tidak layak
menjadi Perdana Menteri Malaysia kelima, keenam atau ketujuh.
Kini setelah memalitkan wibawa Anwar dengan kejijikan melampau beliau
“berpura” pula mendakwa Anwar tahanan politik bukan jenayah.
Sebenarnya Mahathir kini bungkam. Jika tidak sokong peguam yang tiada
locus standi (hak) untuk berpeguaman di Malaysia, belang beliau akan
dihidu awam. Maka beliau terpaksa membuat U-turn dan berkata Anwar
tahanan politik.
Jika beliau mengelak U-turn ini beliau akan melanggar tembok kebenaran.
Bahawasanya beliaulah orang yang menuduh Anwar tahanan jenayah dan
menolak status tahanan politik.
Begitu
gigih dan jijik Mahathir terhadap ‘perbuatan’ Anwar walaupun kepimpinan
Amerika Syarikat ketika itu, terutama Naib Presiden, Al Gore,
bermati-matian menyatakan Anwar bukan penjenayah tapi mangsa konspirasi
politik.
Bayangkan betapa kejamnya lelaki 92 tahun itu cuba membuat U-Turn dan
memanipulasi keadaan untuk menjadi Perdana Menteri lagi dan menyorokkan
‘dosa besar’ yang dilakukanya di atas nama demokrasi dan agamanya,
Islam.
Nanti apabila kebenaran terhambur, baik pimpinan PKR, dan Amanah akan
tahu bahawa mereka juga ‘mencurangi Anwar’ untuk bermandi kuasa yang
mereka kejar sejak 20 tahun lalu.
Anwar, tahanlah kesakitan sedikit lagi sehingga anda benar-benar segar
untuk menunjukkan kepada dunia siapa sebenarnya Mahathir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.