KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak menolak
kemungkinan untuk membatalkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(PPBM) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jika masih gagal
mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) dalam tempoh ditetapkan.
Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim, berkata parti itu berdepan
kemungkinan dibubarkan pendaftarannya oleh RoS, ekoran parti itu tidak
mengadakan AGM walaupun sudah melepasi tempoh sepatutnya pada September
lalu.
Beliau berkata, kelemahan struktur organisasi PPBM yang menyebabkan
parti itu gagal mengadakan AGM seperti dikatakan Pengerusinya, Tun Dr
Mahathir Mohamad, ia adalah tanggungjawab parti itu untuk diselesaikan.
"Memang ada kebarangkalian untuk dibubarkan sekiranya mereka tidak
menunaikan tanggungjawab iaitu adakan AGM dalam tempoh ditetapkan dan
kita akan lihat apa usaha serta tindakan mereka sebelum kita boleh
bubarkan.
"Kalau dibaca perlembagaan PPBM, peringkat cawangan perlu mengadakan
mesyuarat dalam tempoh 14 hari sebelum peringkat bahagian mengadakan
mesyuarat perwakilan, manakala peringkat bahagian pula perlu mengadakan
mesyuarat perwakilan dalam tempoh 60 hari sebelum AGM.
"Justeru kalau mahu sertai PRU-14 dan elak dibubarkan, PPBM perlu ambil
tanggungjawab selesaikan masalah dengan segera sebab yang melanggar
perlembagaan mereka ialah anggota dan kepemimpinan parti itu, bukan
RoS," katanya selepas merasmikan Kursus Pengukuhan Pertubuhan Berkualiti
dan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah RoS bersama Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarah RoS negeri, Mohd Mufsi Lat dan Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan.
PPBM lambat ambil tindakan
Surayati juga mempersoalkan mengapa PPBM lambat mengambil tindakan
untuk menyelesaikan masalah parti itu yang menyebabkannya gagal
mengadakan AGM sehingga hari ini.
Malah beliau berkata, PPBM hanya mengemukakan rayuan untuk melanjutkan
tempoh mengadakan AGM yang sudah melepasi tempoh setahun pada November
lalu selepas parti itu berdepan pelbagai isu yang menyebabkan ahlinya
rasa ditipu dan hilang kepercayaan.
"Memang RoS ada terima permohonan untuk buat penangguhan AGM, tetapi
penangguhan itu juga tertakluk kepada perlembagaan PPBM sendiri iaitu
setahun selepas penubuhan.
"Jadi RoS kena pastikan mereka adakan AGM dalam masa terdekat ini dan
mereka kena bersedialah, jangan beri alasan supaya kita selesaikan
masalah dalaman itu dan akhirnya boleh buat AGM dan sertai PRU-14,"
katanya.
Beliau berkata, Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh
yang sudah dipanggil memberi keterangan kepada RoS kelmarin ada memohon
untuk berjumpanya pada 30 November nanti untuk berbincang secara
terperinci dan melanjutkan lagi tempoh penangguhan AGM.
Mengenai desakan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pahang supaya ROS
membatalkan pendaftaran PPBM selepas mendakwa ditipu kepimpinan parti
itu, Surayati berkata, tindakan itu tidak boleh diambil selagi siasatan
mengenai isu pelanggaran Akta Pertubuhan 1966 berhubung penggunaan
istilah Armada belum selesai.
Beliau turut tidak menolak akan memanggil beberapa pihak lagi dalam
PPBM untuk siasatan kes penggunaan istilah Armada yang tiada dalam
perlembagaan PPBM sekiranya perlu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.